Kedah tempat teratas peroleh pelaburan Q1 2024

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kedah memperoleh tempat teratas pelaburan diluluskan dalam kalangan negeri-negeri di Malaysia bagi suku tahun pertama (Q1) 2024 dengan pelaburan RM31.3 bilion.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, angka itu adalah sebahagian daripada jumlah RM83.7 bilion pelaburan yang diluluskan di Malaysia bagi suku tahun pertama 2024.

“Nilai pelaburan tertinggi yang diluluskan, terdiri daripada RM30.9 bilion pelaburan dalam sektor pembuatan dan RM327.6 juta pelaburan dalam sektor perkhidmatan.

“Manakala daripada jumlah itu juga, RM30.6 bilion atau 97.7 peratus adalah pelaburan langsung asing (FDI), manakala baki RM656.2 juta atau 2.3 peratus adalah pelaburan domestik,” jelasnya pada sidang media di Wisma Darul Aman, di sini semalam.

Pelaburan yang diluluskan itu katanya, melibatkan 51 projek yang dijangka mampu mewujudkan 2,262 peluang pekerjaan khususnya kepada anak tempatan.

Dalam pada itu Sanusi juga memaklumkan, Kedah menjadi destinasi pelaburan utama berikutan negeri itu mempunyai keluasan tanah yang boleh dibangunkan.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim maklumnya, dijangka menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) yang melibatkan empat pelabur utama.

“Perdana Menteri dijangka akan hadir melancarkan majlis pecah tanah Fasa 4A Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) yang melibatkan pembangunan meliputi 104 hektar tanah,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 27/6/2024

- Advertisement -