‘Kaji semula normalisasi politik, ekonomi dengan Israel’

Mohamed Sukri Omar
- Advertisement -

KUALA LUMPUR:  “Kerajaan Malaysia perlu mengkaji semula normalisasi dengan Israel sama ada dalam bentuk politik mahupun ekonomi susulan konflik Palestin-Israel yang masih berterusan sehingga hari ini.”

Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, jawapan Menteri Luar Malaysia sebelum ini mengenai penyelesaian dua negara cukup untuk  memberitahu rakyat bahawa Malaysia tidak berada sepenuhnya di pihak Palestin.

- Advertisement -

Two state solutions adalah kemenangan di pihak Israel. Negara Israel wujud secara haram dan ia tidak boleh diiktiraf sebagai negara. 

“Sejak dahulu lagi apabila idea two state solutions ini muncul, Israel terus menipu dan berhelah dengan melanggar segala perjanjian yang dibuat,” katanya. 

Menurutnya, PAS berpendirian dengan berpegang kepada hukum Islam bahawa Palestin adalah milik Islam dan haram melakukan normalisasi dengan negara Israel. 

“Pembebasan Palestin daripada segenap penaklukan Yahudi adalah jihad yang mesti diteruskan.

Beliau dalam pada itu menegaskan, Malaysia terlalu berpegang dan percaya kepada resolusi Amerika Syarikat (AS) sedangkan dunia tahu Presidennya, Joe Biden tidak akan mampu atau sebenarnya tidak mahu pun memaksa Netanyahu menerima pelan gencatan senjata.

Tambah beliau yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Shah Alam, selepas Hamas menerima pelan gencatan senjata oleh AS, Israel tetap meneruskan operasi menyerang rakyat Palestin di Rafah, garis merah yang sepatutnya tidak boleh dilanggar Israel.

“Sekarang Hamas pula ditekan dan dilihat menentang walaupun berulang kali Hamas menyatakan bersedia berunding jika Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu benar-benar akur kepada pelan gencatan yang dibuat Biden.

“Pelan licik AS berterusan memburukkan Hamas dan resolusi yang ditaja itu hanyalah wayang untuk menunjukkan AS bersama suara dunia sedang melakukan yang terbaik bagi keadilan kedua-dua pihak,” ujarnya.

Sukri turut mempersoalkan apakah Malaysia sendiri mampu memaksa Israel menerima pelan AS ini dan menjamin Israel tidak akan melanggar segala syarat yang ditetapkan, dan jika Israel berterusan menentang, siapa yang berani mengambil tindakan?

“Sokongan terhadap Palestin tidak berbelah bahagi dan Israel tidak boleh dipertimbangkan sama sekali dalam sebarang tindakan menentukan hala tuju politik dan ekonomi negara kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/6/2024

- Advertisement -