‘Hadiah’ harga diesel selepas Kuala Kubu, apa pula Sungai Bakap…

Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Madani ‘menghadiahkan’ kenaikan harga diesel setelah Pakatan Harapan (PH) mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Baharu 11 Mei lepas.

- Advertisement -

Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, kesan kenaikan harga diesel bukan sahaja dirasai penduduk di Kuala Kubu Bharu, sebaliknya seluruh Semenanjung.

Oleh itu, katanya pengundi DUN Sungai Bakap jangan mengulangi kesilapan serupa pada PRK 6 Julai ini.

“Sekiranya PRK Sungai Bakap dimenangi lagi parti kerajaan Madani tidak mustahil banyak lagi perkara yang mereka akan ubah termasuk harga petrol kemungkinan naik.

“Bukan sahaja di Sungai Bakap yang rugi, sebaliknya seluruh negara akan menerima padah dengan kenaikan harga barang yang tiada kesudahan,” ujarnya ketika dihubungi di sini.

PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei lalu calon PH Pang Sock Tao mengekalkan kerusi terebut dengan majoriti 3,869 undi.

Beliau memperolehi 14,000 undi menewaskan pencabar utama dari Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut yang mendapat 10,131 undi.

Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berkata, PRK Sungai Bakap hendaklah dijadikan sebagai isyarat menolak kerajaan Madani.

Menurutnya juga berdasar perkembangan semasa selepas penamaan calon, pengundi di Sungai Bakap dilihat positif memberi sokongan kepada PN.

Kata beliau, rakyat menyambut baik perjuangan PN dan mendoakan semoga gabungan itu dapat mempertahankan kemenangan di Sungai Bakap.

“Sektor pembinaan antara yang terjejas teruk kesan kenaikan harga diesel. Peningkatan statistik perumahan sakit dan terbengkalai dijangka bertambah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 27/6/2024

- Advertisement -