‘Adakah tidak jadi kesalahan program langgar Akta Perubatan?’

Dato' Dr. Ahmad Yunus Hairi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa menangguhkan pembentangan Rang Undang-undang Pindaan Akta 50 Perubatan dan dirujukkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan yang mana dikaitkan dengan program parallel pathway bagi melahirkan pakar yang kompeten dan selamat.

- Advertisement -

Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) berkata, ini adalah agar semua pihak dapat sama-sama melihat dan akhirnya ianya dilihat sebagai keterlibatan libat urus dengan semua pemegang taruh yang bertanggungjawab termasuklah jawatankuasa bebas.

“Begitu juga dengan mungkin Malaysian Medical Council (MMC) dan Malaysian Qualifications Agency (MQA) supaya akhirnya kita dapat melihat bahawa satu input yang terbaik dan mungkin boleh juga satu kertas putih (boleh) dikeluarkan oleh pihak kerajaan,” ujar beliau.

Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, bagi melahirkan pakar yang kompeten dan selamat untuk negara pastinya kerajaan memerlukan perbelanjaan yang besar menggunakan duit pembayar cukai.

“Adakah peruntukan tahun ini menggunakan peruntukan tahunan KKM. Dan saya kira ini adalah satu tanggungjawab yang cukup besar kepada pemegang taruh terbesar rakyat Malaysia lebih daripada 30 juta orang.

“Apakah jaminan kualiti pakar yang mengikuti Program Parallel Pathway (PPP) anjuran Persatuan Malaysian Association for Thoracic and Cardiovascular Surgery (MATCVS) dan KKM, yang bukan entiti pemberi pendidikan tinggi, high education provider tanpa ada akreditasi daripada Malaysian Qualifications Agency (MQA).

“Dan adakah tidak menjadi kesalahan program yang melanggar Akta Perubatan dan Akta MQA ini? Kalau dia melanggar kesalahan kenapa seolah-olah tidak ada tindakan sehingga kini? Saya dimaklumkan ada kertas cadangan, kumpulan penyelidik G70 kesihatan sebelum ini.

“Dan ekoran daripada itu, satu jawatankuasa bebas telah ditubuhkan atas arahan Menteri Kementerian Pengajian Tinggi pada Ogos 2023 bagi mengkaji masalah ini dan membuat syor kepada kedua-dua Kementerian KPT dan juga KKM yang dipengerusi pengerusikan oleh Tan Sri Dato’ Seri Prof. Emerita Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin. Apakah laporan dan syor yang dicadangkan oleh jawatankuasa itu,” soal beliau.

Dzulkefly dalam jawapannya memberitahu, bahawa beliau telah membuat libat urus hampir kesemua pihak untuk menyelesaikan perkara tersebut sehingga melibatkan Peguam Negara.

“Saya memahami bahawa polemik ini terbelah, antara dua pihak tetapi saya sebagai menteri tetap akan mengambil stand yang neutral sehinggalah ke saat ini di mana draf yang telah dibuat pindaan Akta Perubatan Akta 50 itu telah sampai satu peringkat di mana libat urus dengan MMC, libat urus dengan dekan-dekan, majlis dekan, perubatan dan juga hampir semua.

“Dan kita dalam proses telah pun saya serahkan setelah diluluskan oleh jemaah menteri untuk pindaan ini dibuat, maka draf itu telah pun kita siapkan dan telah pun diberikan kepada Jabatan Peguam Negara lalu Peguam Negara telah membuat semakan dan blue bil pindaan Akta 50 Akta Perubatan itu sudah sudah siap seluruhnya dan bakal insya-Allah ya kita adakan beberapa libat urus lagi.

“Antara lainnya untuk kita bentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan dan juga yang telah pun ada juga beberapa libat urus di sana itu adalah round yang terakhir sebelum dewan yang mulia ini menyaksikan blue bil itu diletakkan pada minggu hujung minggu ketiga supaya dapat kita bahaskan di hujung minggu yang keempat untuk kita bentang bahas dan kita luluskan,” ujar beliau.

Ahmad Yunus dalam soalan asalnya meminta Menteri Kesihatan menyatakan apakah perbezaan program latihan kepakaran daripada universiti tempatan dan program latihan kepakaran luar negara (Parallel Pathway) secara umum dan khusus bagi bidang kardiotorasik; dan berapa anggaran kos yang dibelanjakan untuk latihan kepakaran tajaan kerajaan. – HARAKAHDAILY 27/6/2024

- Advertisement -