MARANG: Kerajaan negeri Terengganu telah meluluskan peruntukan sebanyak RM23,000 bagi menaik taraf masjid lama yang terbiar di Pulau Redang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, projek menaiktaraf masjid lama kepada surau dan hentian rehat itu penting untuk memanfaatkan semula tapak yang telah lama ditinggalkan.
“Saya telah memutuskan untuk menyumbang sebanyak RM23,000 kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pulau Redang melalui Pejabat Daerah Kuala Nerus.
“Tapak masjid itu akan dibangunkan menjadi surau dan hentian rehat yang lebih selesa buat pelancong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media semasa lawatan kerja Exco Pelancongan ke Pulau Terengganu bertempat di Pulau Kapas di sini, semalam.
Mengulas berhubung proses menaik taraf masjid berkenaan beliau berkata, penduduk kampung akan membersihkan kawasan tersebut secara bergotong-royong dan membangunkan semula kemudahan yang diperlukan di tapak masjid lama itu.
Menurut Razali, semasa sesi lawatan ke Pulau Redang, pihaknya mendapati keadaan masjid lama tidak terurus dan dipenuhi dengan semak samun.
“Ini adalah pemandangan pertama yang disambut oleh pelancong yang tiba di Pulau Redang melalui jeti utama.
“Walaupun ia bukan lagi berfungsi sebagai masjid, kami akan membina surau, tempat persalinan, pentas kebudayaan, dan tandas awam untuk kegunaan pelancong,” katanya.
“Usaha tersebut akan dilaksanakan secepat mungkin dan kemudahan yang dibina itu termasuk surau tidak akan dijadikan tempat untuk bermalam,” katanya.
Terdahulu, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, tapak masjid yang tidak digunakan itu telah lama dibiarkan tanpa sebarang pemuliharaan. – HARAKAHDAILY 26/6/2024