‘Tembelang siapa yang pecah, Akmal?’

- Advertisement -

TIMBALAN Menteri, Akmal Nasrullah Nasir cuba menunjukkan kononnya dia bertindak betul dengan mendakwa Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor ‘marah’ kerana ‘tembelangnya’ pecah setelah dia (Akmal) melawat projek Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau dan LRA Sungai Limau yang ‘sakit’.

‘Sakit’ bermaksud progres atau perkembangan kerja menyiapkan projek itu telah melewati jadual.

Akmal, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dilaporkan melawat projek itu pada Februari lalu.

- Advertisement -

Selepas lawatan, dia telah menyerang Kerajaan Kedah, khususnya Menteri Besar bertalu-talu kerana dikatakan tidak mengambil tindakan ke atas kontraktor yang tidak menyempurnakan kerja mengikut jadual.

Dalam ceramah di Sungai Bakap, Nibong Tebal baru-baru ini, Akmal buat kesekian kalinya mengecam Menteri Besar Kedah atas tajuk yang sama.

Dia mendakwa Dato’ Seri Sanusi ‘marah’ kerana ‘tembelangnya’ telah pecah.

Soalnya, tembelang apa yang dimaksudkan oleh Akmal, dan apa yang mengikut dakwaannya sedang cuba disembunyikan oleh Dato’ Seri Sanusi?

Itulah soalan yang perlu dijawab oleh Akmal jika dia tidak mahu dituduh memfitnah!

Selama ini, dalam apa jua kenyataan dan di mana-mana jua kenyataan mengenai dua projek itu dibuat, Dato’ Seri Sanusi tidak pernah menafikan projek LRA Bukit Selambau di Kuala Muda dan LRA Sungai Limau di Baling, pelaksanaan kerjanya lambat berbanding jadual.

Jika itu yang dimaksudkan oleh Akmal cuba disembunyikan, jelas ia adalah fitnah.

Apa yang cuba dijelaskan oleh Dato’ Seri Sanusi ketika menjawab kenyataan Akmal selepas lawatannya itu ialah mengenai punca mengapa kelewatan itu berlaku.

Selain itu, Dato’ Seri Sanusi juga menegur cara timbalan menteri itu – juga menteri dan timbalan menteri yang lain daripada Kerajaan Persekutuan – berurusan dengan pihak negeri selama ini.

Mereka bukan datang untuk menyelesaikan masalah sebaliknya menambahkan lagi masalah.

Jika benar mahu menyelesaikan masalah, seharusnya mereka datang ke negeri orang dengan beradab, memberi salam dan berurusan mengikut tatacara yang betul. Setiap masalah perlu diselesaikan dengan cara berbincang dan sama-sama mencari penyelesaian.

Kedah sama juga dengan negeri negeri lain, ada kerajaan yang mentadbir. Jika diumpamakan seperti rumah, setiap rumah ada tuannya dan tuan dalam pentadbiran kerajaan ialah menteri besar.

Begitulah cara yang betul dalam berurusan dan hormatilah tatacara berurusan. Janganlah berpolitik dalam isu isu melibatkan kepentingan rakyat!

Selama ini Dato’ Seri Sanusi bukan tidak pernah mengakui bahawa pelaksanaan kerja projek itu lewat berbanding jadual atau agak perlahan. Namun itu bukan bermakna ia tidak ada progres atau perkembangan langsung.

Kelewatan itu berlaku atas banyak sebab, antaranya kenaikan kos pasca pandemik COVID-19. Kenaikan kos yang berlipat kali ganda memerlukan proses runding semula dan hal-hal yang seperti ini membawa kepada Lanjutan Tempoh Masa atau EOT (Extension of Time).

Kita yakin bahawa hal seperti ini sudah difahami oleh timbalan menteri berkenaan namun dia mungkin sengaja buat-buat tidak faham untuk menangguk di air keruh,

Bertelingkah dengan MB Kedah oleh ahli politik parti kerajaan, boleh menaikkan rating. Tambahan pula dalam suasana pilihan raya di Sungai Bakap sekarang.

Kita sekadar boleh menasihatkan supaya ahli politik baru nak up seperti Akmal, jangan terlalu angkuh dan memperalatkan rakyat.

Keangkuhan hanya akan membawa kepada kejatuhan, dan kejatuhan gabungan PH UMNO akan bermula di Sungai Bakap. – HARAKAHDAILY 26/6/2024

MUHAMAD MAT YAKIM
Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -