Satu daripada lima isi rumah di Gaza tak makan seharian

Krisis kebuluran semakin meningkat di Semenanjung Gaza susulan perang Israel-Hamas yang telah berlangsung sejak sembilan bulan lalu. (FOTO: Al Jazeera)
- Advertisement -

LONDON: Lebih 495,000 penduduk Semenanjung Gaza, merangkumi satu daripada lima  isu rumah di wilayah yang kini sedang diserang tentera Zionis Israel sejak lebih sembilan bulan lalu,berdepan dengan tahap bencana kebuluran akibat kekurangan bekalan makanan, disebabkan oleh kekurangan makanan yang melampau, kelaparan, dan keletihan.

- Advertisement -

Menerusi laporan yang dikeluarkan Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati, lebih separuh daripada isi rumah di Gaza terpaksa menjual atau menukar pakaian untuk membeli makanan, kerana risiko kebuluran yang kekal tinggi di seluruh wilayah berkenaan berikutan kekejaman dan keganasan Zionis Israel. 

Naib Presiden Dasar Global dan Advokasi di Mercy Corps, Kate Phillips-Barrasso berkata, orang ramai mengalami keadaan di bawah kemampuan sebagai manusia, mengambil langkah terdesak seperti merebus rumpai, memakan makanan haiwan, dan menukar pakaian dengan wang untuk menahan kelaparan dan memastikan anak-anak mereka hidup.

“Keadaan kemanusiaan semakin merosot dengan cepat, dan kebuluran terus melanda Gaza. Bantuan kemanusiaan adalah terhad, masyarakat antarabangsa mesti memberikan tekanan tanpa henti untuk mencapai gencatan senjata dan memastikan akses kemanusiaan yang berterusan sekarang. Penduduk tidak dapat menanggung kesusahan ini lagi,” katanya. 

Pihak berkuasa Israel ketika ini mempunyai kawalan ketat ke atas pintu masuk ke Gaza, di mana sebarang pergerakan keluar masuk memerlukan kebenaran tentera. Runtuhan dalam pada itu telah merosakkan jalan raya, kekurangan bekalan bahan api, dan rangkaian kuasa serta komunikasi hampir tidak berfungsi.

IPC juga mengambil maklum bahawa penghantaran makanan dan perkhidmatan pemakanan ke utara Gaza meningkat dengan ketara pada bulan Mac dan April, menghalang kebuluran dan memperbaiki keadaan di wilayah itu. 

Walau bagaimanapun, keadaan telah merosot sekali lagi akibat tahap ketegangan yang kembali meningkat, dan risiko kebuluran kekal di Semenanjung Gaza selagi konflik berterusan dan akses kemanusiaan adalah terhad, lapor The Guardian.

Sementara itu, lebih separuh daripada isi rumah dilaporkan kerap kehabisan makanan di rumah, dan lebih daripada 20 peratus penduduk tidak makan dari waktu pagi sehingga malam. 

Trajektori terkini adalah negatif dan sangat tidak stabil. Jika aliran ini berterusan, peningkatan yang dilihat pada bulan April mungkin akan mengalami penurunan dengan cepat. -Agensi/– HARAKAHDAILY 26/6/2024

- Advertisement -