RUU bubar MAVCOM lulus setelah undi belah bahagi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Md Nor membenarkan undi belah bahagi dijalankan berhubung usul Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) (Pembubaran) 2024 bagi membubarkan suruhanjaya tersebut dibentangkan, hari ini.

- Advertisement -

Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 46 (4) untuk diadakan undi belah bahagi dibangkitkan oleh Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) sebaik Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook selesai menggulung perbahasan.

Ramli kemudiannya meminta agar seramai 15 orang Ahli Parlimen bangun menyokong untuk membolehkan usul tersebut diluluskan.

Loceng kemudiannya dibunyikan selama dua minit bagi memanggil masuk Ahli-ahli Parlimen setelah beliau berpuas hati dengan sokongan lebih 15 orang untuk melaksanakan undian tersebut.

RUU tersebut akhirnya diluluskan untuk dengan 93 orang ahli menyokong, 63 menentang sementara 66 lagi tidak hadir.

Dalam perbahasan sebelum itu, Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional menuntut agar RUU tersebut ditangguhkan bagi membolehkan ia dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Parlimen bagi dibincangkan dengan lebih teliti terhadap beberapa isu yang menjadi kebimbangan mereka. – HARAKAHDAILY 26/6/2024

- Advertisement -