Parti pimpinan Justin Trudeau tewas PRK

Justin Trudeau. (FOTO: National Observer)
- Advertisement -

TORONTO: Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Toronto-St. Paul’s menyaksikan Parti Liberal pimpinan Perdana Menteri, Justin Trudeau tewas mengejut kepada calon dari Parti Konservatif dengan majoriti tipis hampir 600 undi.

Kekalahan di kerusi yang dimenangi oleh Parti Liberal untuk tempoh lebih 30 tahun itu telah menimbulkan kegusaran bagi pihak Trudeau menjelang pilihan raya umum negaranya yang dijadualkan berlangsung selewat-lewatnya Oktober tahun depan. 

- Advertisement -

Laporan daripada agensi kerajaan, Elections Canada pada Selasa menunjukkan bahawa calon Parti Konservatif selaku pembangkang, Don Stewart memenangi kerusi Toronto-St. Paul’s selepas memperoleh 42.1 peratus undi berbanding calon Parti Liberal, Leslie Church yang mendapat 40.5 peratus selepas kesemua 192 pusat mengundi mengesahkan jumlah undian bagi setiap kawasan, lapor BBC. 

PRK itu telah diadakan selepas penyandangnya, Carolyn Bennett bertindak mengosongkan kerusinya pada 16 Januari 2024 lalu, hari yang sama beliau dilaporkan akan dilantik menjadi Duta Kanada ke Denmark. 

Sementara itu, Trudeau dalam kenyataannya berkata beliau akan terus kekal menjadi Perdana Menteri dan memimpin partinya menjelang pilihan raya umum tahun hadapan, disebalik kekalahan Parti Liberal pada pilihan raya kecil berkenaan.

“Ini jelas bukan keputusan yang kami mahukan, tetapi saya ingin jelaskan bahawa saya mendengar kebimbangan dan kekecewaan anda. 

“Ini bukan masa yang mudah, dan adalah jelas bahawa saya dan seluruh pasukan Liberal saya, mempunyai lebih banyak kerja keras untuk dilakukan bagi menyampaikan kemajuan yang nyata dan nyata yang dapat dilihat dan dirasai oleh rakyat  Kanada.

“Kami tidak akan berhenti bekerja dan berjuang untuk memastikan anda mempunyai apa yang anda perlukan untuk mengharungi masa-masa sukar ini. Tumpuan saya adalah pada kejayaan anda dan di situlah ia akan kekal,” katanya.

PRK Toronto-St. Paul’s dianggap oleh sesetengah pihak sebagai ‘referendum’ terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Justin Trudeau dan keputusan itu hadir apabila beliau sendiri menyaksikan penurunan ketara dalam popularitinya sejak mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 2015 disebabkan pelbagai isu termasuk tekanan kos sara hidup. -Agensi/– HARAKAHDAILY 26/6/2024

- Advertisement -