PAC bentang laporan mengenai FELCRA Berhad

Mas Ermieyati (depan, kiri) dalam sidang media di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada hari ini, 26 Jun 2024.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini telah membentangkan Laporan PAC berhubung FELCRA Berhad di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Dewan Rakyat.

Pengerusinya, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, PAC memilih isu ini selepas ia dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2 yang dibentangkan di Parlimen pada 16 Januari 2023 yang lalu memandangkan Felcra adalah sebuah syarikat berkaitan kerajaan yang sinonim dengan usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.

- Advertisement -

“Laporan ini terbahagi kepada dua jilid iaitu Jilid 1 merangkumi Laporan setebal 100 muka surat berserta dokumen pembentangan dan Jilid 2 adalah hansard bagi prosiding yang telah diadakan.

“Laporan ini dibentangkan selepas PAC mengadakan 9 prosiding bermula 27 Jun 2023 hingga 29 Februari 2024 dengan memanggil 15 saksi terdiri daripada Jabatan Audit Negara, MOF, KKDW, FELCRA Berhad dan syarikat WZR Group iaitu kontraktor Menara Semarak20,” katanya.

Menurut beliau, mantan Pengerusi FELCRA Berhad, Datuk Bung Mokhtar Radin dan Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman turut menjadi saksi dalam isu ini yang mana penyediaan laporan ini mengambil masa selama dua hari.

Tambah beliau, jumlah masa yang diperuntukkan PAC untuk menyelesaikan prosiding serta menyiapkan laporan ini bermula daripada prosiding pertama sehingga laporan ini dapat dibentangkan adalah lebih kurang 50 jam.

“Semasa prosiding berlangsung, PAC telah dimaklumkan bahawa hutang FELCRA Berhad dan anak-anak syarikat FELCRA Berhad berjumlah RM1.532 billion telah distrukturkan dan dijadualkan semula untuk tempoh 35 tahun oleh pihak kerajaan melalui kelulusan Jemaah Menteri pada 11 Ogos 2021 yang lalu.

“Pihak FELCRA Berhad turut memaklumkan bahawa pinjaman yang telah distrukturkan semula kini dibayar mengikut jadual yang telah ditetapkan di samping memberi ruang kepada FELCRA Berhad untuk menjalankan pengoperasian syarikat.

“Namun begitu, melalui prosiding yang dijalankan, PAC mendapati faktor penyumbang terbesar bagi situasi keberhutangan ini adalah kerugian pengoperasian anak-anak syarikat FELCRA Berhad. 

“Perkara ini jelas dapat dilihat melalui hutang syarikat-syarikat usaha sama estet, berjumlah RM309.8 juta dan FELCRA Properties kepada FELCRA Berhad yang berjumlah RM842.7 juta, di mana, kerajaan telah memberikan pinjaman berjumlah RM544 juta kepada FELCRA untuk pembangunan sebuah projek komersial di Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang dikenali sebagai Semarak20,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Sidang Media yang diadakan di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Kapar Dr. Halimah Ali; Naib Pengerusi PAC Wong Shu Qi dan Ahli Parlimen Kuala Pilah Dato’ Adnan Hassan.

Sementara itu, beliau menyatakan bahawa PAC mengesyorkan lima perkara yang perlu FELCRA Berhad laksanakan bagi melakukan pemulihan semula keadaan kewangan yang syarikat tersebut sedang hadapi.

Kata beliau lagi, antaranya ialah melihat kembali struktur serta operasi kumpulan syarikat berdasarkan matlamat asal penubuhan syarikat serta obligasi sosialnya demi menjaga kepentingan peserta dan pembangunan masyarakat luar bandar.

“KKDW dan FELCRA perlu lebih bertanggungjawab dan tegas dalam mengawal selia anak-anak syarikatnya supaya menjana keuntungan dan mencapai matlamat penubuhan.

“Felcra hendaklah membina keupayaan sebelum menceburi apa-apa bidang yang selain daripada perniagaan teras. 

“KKDW perlu memastikan Felcra dan Felcra Properties merangka strategi menyeluruh, termasuk jualan dan juga peluang perniagaan, bagi projek Semarak20 berjaya supaya pembayaran semula hutang kepada Kerajaan dapat dilakukan dan memperkukuhkan kedudukan kewangan syarikat,” jelasnya.

Beliau juga mengesyorkan KKWD dan FELCRA perlu melaporkan perkembangan terkini status pembayaran hutang kepada kerajaan dan pelaksanaan strategi ke atas projek Semarak20 kepada PAC setiap tiga bulan sebagai satu mekanisme pemantauan.

“Maka PAC memberikan tempoh selama 2 bulan kepada MKD, MOF, KKDW, dan FELCRA Berhad sebelum dipanggil semula untuk Prosiding Tindakan Susulan.

“Ini adalah bagi membolehkan Jawatankuasa ini mengetahui tindakan yang telah diambil oleh MOF dan FELCRA terhadap lima syor PAC yang dikemukakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/6/2024

- Advertisement -