MAVCOM bubar: Siapa kawal industri penerbangan negara?

Dato' Che Mohamad Zulkifly Jusoh
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hasrat kerajaan menggabungkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sebagai tindakan kurang tepat.

- Advertisement -

Dato’ Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) berkata ketika ini banyak aktiviti didalangi kartel yang menjadi punca harga tiket penerbangan terus meningkat tanpa kawalan.

“MAVCOM ini mengawal persaingan industri dengan memastikan landskap industri kompetitif tanpa amalan monopoli dan aktiviti kartel dalam industri perlu dikeluarkan.

“Apabila MAVCOM ini dibubarkan siapa yang akan mengawal persaingan industri penerbangan dalam negara terutamanya melibatkan golongan kartel dalam industri penerbangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

MAVCOM ditubuhkan sebagai satu entiti bebas yang berperanan mengawal selia sektor penerbangan komersial akan dibubarkan bagi memberi laluan kepada CAAM sebagai agensi tunggal.

Sedangkan, kata beliau lagi, CAAM merupakan badan yang bertanggungjawab dalam aspek teknikal sahaja biarpun suruhanjaya itu mempunyai bidang kuasa lebih besar berbanding CAAM.

Media sebelum ini melaporkan penjualan semula tiket kapal terbang ke Mekah dan Madinah yang lebih tinggi didalangi oleh kartel menjadi punca kos umrah semakin meningkat.

Menurut Presiden Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh), Razali Mohd Sham, kegiatan tersebut dikesan berlaku kira-kira lima tahun lalu membabitkan penerbangan umrah.

Katanya, kartel terbabit akan membeli tiket tersebut secara borong daripada syarikat penerbangan dan menjualnya semula pada harga lebih tinggi kepada agensi umrah. – HARAKAHDAILY 26/6/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!