‘MAVCOM benteng terakhir lindungi lapangan terbang kita’

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pembubaran Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dilakukan bagi memudahkan penjualan saham Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP).

- Advertisement -

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata, meskipun tindakan itu dikecam oleh ramai pihak, namun kerajaan dilihat seolah-olah terus berdegil dengan sokongan majoriti.

Beliau berkata, sekiranya usaha itu dilaksanakan sejauh mana aspek keselamatan dan integriti data rakyat yang menggunakan lapangan terbang termasuk keselamatan negara turut diragui.

“Apakah ini menyebabkan kementerian mahu membubarkan MAVCOM untuk melicinkan proses penswastaan MAHB ini dan juga memudahkan GIP ada kawalan dalam MAHB dan lapangan terbang kita.

“MAVCOM ini benteng terakhir melindungi kedaulatan lapangan terbang kita,” katanya ketika membahaskan RUU Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketua Armada Bersatu itu juga hairan kenapa Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan (BBC) enggan bersuara dalam isu tersebut malah tidak mahu membahaskan RUU dibentangkan hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta Timbalan Yang Dipertua, Dato’ Dr. Ramli Mohd Nor supaya mempelawa ahli parlimen BBC menyertai perbahasan serta menyatakan pendirian isu tersebut.

“Saya nak mencadangkan kepada Timbalan Speaker Dewan Rakyat untuk mempelawa ahli BBC untuk memberi ucapan menyokong atau macam mana pendirian mereka terhadap RUU ini.

“Saya tujukan kepada wakil dari Barisan Nasional (BN) dan Umno untuk menerima pelawaan ini serta tampil bersama-sama berdebat dan berbahas dalam RUU ini nyata pendirian,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 26/6/2024