MAIK kumpul 800 peserta 9 negara bincang peranan masjid

- Advertisement -

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) akan mengumpul seramai 800 peserta dari sembilan negara membincangkan peranan masjid sempena Konvensyen Masjid Nusantara 2024.

Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr Hasnan Ramli berkata, peserta luar negara dari Australia, Jepun, Kemboja, China, Indonesia, Brunei, Singapura serta empat wilayah di Selatan Thailand.

Menurutnya, penganjuran konvensyen itu bertujuan menjadi medium mengumpulkan  penggerak masjid untuk berkongsi pengalaman mengurus masjid sehingga cemerlang di tempat masing-masing.

- Advertisement -

“Ia juga bertujuan untuk membuka dimensi perbincangan dan perkongsian pintar dalam mengurus masjid dengan lebih teratur,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Konvensyen julung-julung kali yang dianjurkan itu dijadualkan antara 28 hingga 30 Jun ini dan perasmiannya akan disempurnakan Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.

“Sebanyak enam kertas kerja akan dibentangkan pada konvensyen yang turut melibatkan  wakil dari MAIK dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam seluruh negara, NGO serta orang perseorangan,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, konvensyen terbabit hasil inisiatif Akademi Latihan Al-Muhammadi (ALAMi) iaitu entiti di bawah MAIK yang berperanan menganjur kursus, program peningkatan kerjaya dan latihan pegawai masjid.

Tambahnya, MAIK merupakan Majlis Agama Islam yang pertama di Malaysia melaksanakan penarafan untuk semua masjid di seluruh negeri.

“Program penarafan tersebut bertujuan meningkatkan kecekapan tadbir urus dan merancakkan program pengimarahan masjid. 

“Masjid di Kelantan digredkan mengikut bintang yang diperolehi antara satu hingga lima bintang,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/6/2024

- Advertisement -