Kurma Daging Perlis di Restoran FELDA D’Saji Makkah

- Advertisement -

KANGAR: Restoran Malaysia FELDA D’Saji yang beroperasi di Menara Safwa, Makkah, Arab Saudi, sepanjang musim haji tahun ini memperkenalkan hidangan istimewa ‘Kurma Daging Perlis’.

- Advertisement -

Menurut Pengurus Kanan restoran tersebut, Muhamad Hafiz Abdul Malek, restoran itu mendapat sambutan baik dari jemaah haji dan umrah dari pelbagai negara yang ingin merasai masakan Malaysia.

Hidangan ini adalah peluang baik untuk mempromosikan masakan negeri Perlis, khususnya Kurma Daging Perlis sempena kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.

Ia diadakan dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan MKM Ticketing Travel & Tours Sdn Bhd.

“Pihak kami amat berbesar hati dapat turut sama membantu memperkenalkan menu ini yang akan menjadi salah satu menu restoran kami dari semasa ke semasa agar para pengunjung dapat mengetahui tentang negeri Perlis yang mempunyai menu unik seperti Kurma Daging ini,” kata Hafiz.

Promosi dilancarkan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan merasmikan promosi tersebut sebelum Baginda berangkat meninggalkan Kota Makkah baru-baru ini.

Menurut kenyataan siaran media Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis hari ini, majlis pelancaran diadakan secara ringkas di hadapan restoran tersebut memandangkan kesesakan kawasan yang sentiasa sibuk dikunjungi pengunjung serta jemaah haji dan umrah.

Turut berangkat sama adalah anakanda bongsu Baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Ketua Chef restoran tersebut, Mohd Safwan Mat Hussein, seorang rakyat Malaysia, turut menyambut keberangkatan Tuanku Pemangku Raja Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil baru sahaja selamat menunaikan fardhu Haji di Tanah Suci Makkah.

Turut bersama adalah anakanda-anakanda Baginda iaitu Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail serta Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail

Dalam pada itu, Tuanku Pemangku Raja berkongsi maklumat bahawa Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah, memaklumkan bahawa Arab Saudi kekal sebagai penyumbang terbesar ketibaan pelancong di Malaysia dari negara-negara Asia Barat.

Seramai 51,375 pelancong dari Arab Saudi melawat Malaysia pada tahun 2023, berbanding 35,980 pelawat pada tahun 2022 di mana Kuala Lumpur, Langkawi, Pulau Pinang dan Melaka merupakan antara tumpuan pelawat-pelawat ini.

Baginda menyarankan agar pemain industri pelancongan di Perlis mencari jalan untuk menarik pengunjung yang bertandang ke Langkawi dan Pulau Pinang untuk turut datang ke Perlis. – HARAKAHDAILY 26/6/2024

- Advertisement -