KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan mengambil maklum terhadap laporan akhbar berkaitan tangkapan kes judi dalam talian di Kelantan dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga penduduk prihatin yang membuat aduan.
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed berkata, pihaknya turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Polis Kelantan atas kecekapan dan ketegasan dalam membanteras kegiatan sebegini yang semakin berleluasa.
“Tindakan pantas pihak polis dalam memberi respons terhadap laporan penduduk mengenai lebih 40 premis judi dalam talian yang beroperasi secara berselindung di sebalik kedai aksesori telefon adalah suatu kejayaan yang perlu dibanggakan.
“Walau bagaimanapun, adalah menjadi hasrat agar semua jenis kesalahan judi di Kelantan dapat dibanteras semaksimum yang boleh.
“Justeru, kerjasama erat antara masyarakat dan pihak berkuasa adalah kunci kejayaan dalam memerangi kegiatan haram ini daripada terus berleluasa dan ianya selaras dengan dasar Membangun Bersama Islam,” katanya.
Media tempatan sebelum ini melaporkan sekumpulan penduduk mendakwa lebih 40 premis judi dalam talian beroperasi secara aktif di beberapa daerah di Kelantan dengan berselindung di sebalik kedai aksesori telefon.
Aktiviti itu dikesan di beberapa daerah termasuk Tanah Merah, Pasir Mas dan Kota Bharu yang didakwa beroperasi sejak lima tahun lalu. – HARAKAHDAILY 26/6/2024