Hukuman sebagai peringatan supaya jangan berputus asa

- Advertisement -

NABI Yunus berdakwah kepada kaumnya di suatu tempat yang bernama Mosul di Iraq. Namun, mereka enggan menerimanya.

Akhirnya, Nabi Yunus memberi amaran sesuai dengan perintah Allah bahawa mereka diberi tempoh masa selama tiga hari. Kalau masih tidak bertaubat dan memeluk Islam, bala akan turun dari langit.

Mereka tidak percaya dan menyindirnya. Pada hari pertama, langit menjadi sangat gelap dan muka orang kampung berubah. Mereka masih berdegil.

Pada hari kedua, muka mereka menjadi kekuningan. Nabi Yunus sudah lari menyelamatkan dirinya. Mereka yang ketakutan mencari di mana Nabi Yunus.

Pada hari ketiga, muka sudah sepenuhnya berubah. Mereka bertempik kerana takut akan azab yang datang. Mereka menangis dan akhirnya bertaubat kepada Allah SWT.

- Advertisement -

Disebabkan oleh berkatnya taubat mereka, Allah menghentikan azab ke atas mereka. Keadaan kembali pulih.

Mereka beramai-ramai berlari dan mencari Nabi Yunus. Nabi Yunus lari menyelamatkan dirinya ke tepi laut dan menaiki kapal. Allah tidak berkenan dengan sikapnya itu.

Sebab meninggalkan kaumnya sebelum berlaku apa-apa. Allah memberi tempoh masa tiga hari, namun belum masuk tiga hari Nabi Yunus sudah lari. Kata ulama, Allah memberi hukuman kepadanya sebagai satu didikan.

Datanglah gelombang ombak besar yang tidak seperti kebiasaan. Nakhoda kapal membuang segala benda yang ada kerana bimbang kapal akan tenggelam. Namun, masih tidak berhasil.

Akhirnya, diputuskan bahawa perlu dibuang orang. Mereka mengundi untuk memutuskan siapa yang akan dibuang.

Hasil undian pertama ialah Nabi Yunus. Mereka berasa tidak munasabah untuk membuangnya kerana baginda ialah orang yang baik. Undian yang kedua juga menunjukkan namanya. Begitu juga dengan undian yang ketiga.

Tiga kali namanya terpilih. Nakhoda pun sudah tidak tahu ingin berbuat apa lagi. Nabi Yunus rela untuk dibuang. Saat dibuang ke laut, datang seekor ikan lalu menelannya. Ombak pun berhenti. Ikan itu kemudiannya ghaib ke dalam dasar laut.

Dengan takdir Allah, ikan tidak dapat memakan Nabi Yunus. Seolah-olah makanan di dalam perut tidak dapat dihadam.

Nabi Yunus menyedari kesilapannya dan berdoa:

لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

Nabi Yunus menyeru di dalam gelap gelita. Kata ulama, gelap gelita itu adalah tiga kegelapan. Yang pertama, kegelapan perut ikan.

Yang kedua, kegelapan di bawah laut. Yang ketiga, kegelapan kerana tiada cahaya atau mungkin kegelapan fikirannya yang buntu tidak tahu nak buat apa akhirnya berserah kepada Allah.

Dengan berkat zikirnya, ikan tidak dapat menahan sesuatu yang aneh di dalam perutnya, dan akhirnya memuntahkannya ke tepi pantai.

Nabi Yunus keluar daripada perut ikan dalam keadaan letih kerana duduk di dalam perut ikan selama beberapa hari dan tidak makan langsung. Akhirnya, Allah menumbuhkan pokok labu. Nabi Yunus memakannya sehingga tubuhnya kembali sihat.

Ini adalah ibarat hukuman Allah sebagai peringatan kepadanya supaya jangan cepat berputus asa. Kita juga seharusnya begitu apabila berdepan dengan apa-apa masalah. Ada masalah yang dapat diselesaikan dengan izin-Nya.

Nabi SAW kata, apabila kita susah atau ada masalah, bacalah doa Yunus:

فَاسْتَجَبْنَا لَهٗۙ وَنَجَّيْنٰهُ مِنَ الْغَمِّۗ وَكَذٰلِكَ نُـْۨجِى الْمُؤْمِنِيْنَ
Maksudnya, “Maka Kami kabulkan doanya dan Kami selamatkan dia dari kedukaan. Dan demikianlah Kami menyelamatkan orang-orang yang beriman.”

Doa ini sepatutnya kita baca ketika susah atau ada apa-apa masalah. Kalau tiada masalah sekalipun, bacalah ia sebagai tanda mendekatkan diri kepada Allah.

Kata ulama, ada tiga perkara yang digabungkan dalam doa tersebut. Yang pertama, ada tahlil atau syahadah. Yang kedua, ada tasbih. Yang ketiga, ada istighfar atau pengakuan.

Tasbih ini merupakan antara tuntutan kita. Kalau kita membacanya, ia menggugurkan dosa kita.

Lepas Subuh, bacalah “Subhanallah wa bihamdihi, Subhanallahil ‘adzim” sebanyak seratus kali atau yang ringkasnya “Subhanallahhil ‘adzim wa bihamdih”.

Nabi SAW kata, walaupun dosa sebanyak buih di lautan, akan diampunkan oleh Allah. Kata ulama, dosa yang dimaksudkan itu adalah dosa kecil seperti mengumpat, tengok perkara yang tidak baik atau keluar perkataan yang tidak baik daripada mulut.

Istimewanya doa tersebut kerana merangkumi tiga perkara yang penting dalam kehidupan. Perbanyakkanlah membacanya terutama apabila menghadapi masalah.

Ada orang bertanya, bahawa, ini doa Nabi Yunus dan Allah memakbulkannya, kita macam mana? Kita ini Allah makbul ke tidak?

Allah telah menjawab dengan maksud, “Demikianlah Kami akan menyelamatkan juga orang-orang yang beriman.”

Maknanya, ia bukan hanya untuk Nabi Yunus, bahkan kita juga akan diberikan kelepasan oleh Allah sebagaimana Nabi Yunus yang diselamatkan oleh-Nya. – HARAKAHDAILY 26/6/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -