‘GIP tak minat operasi MAHB?, namun ia amat meragukan’

Nuridah Mohd Salleh
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Biarpun menurut Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim/PMX), GIP (Global Infrastructure Partners) tidak berminat dalam operasi Malaysia Airports Holdings Berhad/MAHB, namun perkara ini amat meragukan.”

Itu hujah Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) dalam menyuarakan bantahan terhadap penjualan saham MAHB sebanyak 30 peratus kepada Global Infrastructure Partners (GIP), yang dimiliki sepenuhnya oleh syarikat pro-Israel, BlackRock Inc. (BlackRock).

- Advertisement -

Ketua DMPM, Nuridah Mohd Salleh berkata, MAHB merupakan pengendali kepada lapangan terbang di Malaysia dan seharusnya perkara sebegini besar perlu dibangkitkan dan dibahaskan di Parlimen sebelum ia diputuskan.

“Menjual syarikat yang mengendalikan pintu masuk dan keluar negara sudah tentu bakal melibatkan isu keselamatan dalam sesebuah negara,” katanya.

Menurut beliau, GIP dan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dikatakan bakal memiliki 30 peratus saham dalam MAHB, sepertmana yang disuarakan oleh Ketua Bahagian Pengangkutan di GIP, Phil Iley bahawa mereka menawarkan kepakaran mereka dalam menaik taraf lapangan terbang di Malaysia.

“Ia sudah cukup menggambarkan minat mereka untuk terlibat secara langsung dalam pengurusan MAHB. 

“Tambahan lagi syarikat MAHB hanya mengalami kerugian ketika dunia dilanda pandemik. Itu membuktikan tiada keperluan ia dijual kepada syarikat asing,” hujahnya.

Tambah beliau, keputusan membenarkan MAHB dibeli GIP juga menimbulkan tanda tanya ramai apabila Menteri Luar, Dato’ Seri Mohamad Hasan sendiri mengatakan bahawa penjualan saham tersebut tidak mendapat persetujuan jemaah menteri terutamanya menteri daripada Umno.

“Perkara ini sebaliknya menjadi keputusan pihak Khazanah yang berada di bawah Kementerian Kewangan. 

Apakah perkara sebegini besar tidak perlu dibincangkan secara tuntas bersama Jemaah Menteri? Apakah suara seorang Menteri sudah tidak bernilai mahupun didengar oleh Perdana Menteri?” soal beliau.

Tegas Nuridah, pihaknya agak kesal apabila Perdana Menteri, PMX kerap membangkitkan  mengenai isu pelaburan BlackRock dalam negara yang sememangnya sudah lama berlangsung. 

Ini kerana menurutnya, memang benar syarikat tersebut telah lama bertapak di Malaysia namun tiada satupun syarikat yang mereka melabur lebih daripada 10 peratus.

“Perkara yang melibatkan pelaburan yang telah berlangsung tentu agak rumit untuk diputuskan begitu sahaja, namun perkara yang belum terjadi yang seharusnya kita elakkan lebih-lebih lagi pada waktu ini, rakyat Palestin masih lagi dibantai di tanah air mereka.

“Umum mengetahui GIP dimiliki BlackRock iaitu sebuah syarikat yang pro-Zionis. Adakah kita masih sanggup bekerjasama dengan syarikat yang terlibat secara langsung dalam pembuatan senjata Israel?

“Sesungguhnya pihak DMPM amat mengharapkan pihak Kerajaan mahupun rakyat Malaysia meneruskan perjuangan membebaskan tanah Palestin bersama rakyat Palestin yang merupakan saudara kita.

“Sedangkan penduduk di Barat berusaha menolak Israel atas dasar kemanusiaan, bagaimana kita yang mengaku saudara mereka tanpa segan silu menerima huluran tangan mereka? 

“Usahakanlah untuk bertahan tanpa campur tangan dari pihak zionis biarpun betapa terliurnya kita melihat pelaburan mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/6/2024

- Advertisement -