Felda: Usaha kembalikan hak rakyat makin nampak sinar

Dr Azman Ibrahim
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Usaha Kerajaan Negeri Terengganu untuk mengembalikan hak rakyat berhubung isu tanah Felda semakin menampakkan sinar.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri berkata, perbincangan dalam senyuman mampu merungkai kekusutan.

“Alhamdulillah, usaha kami untuk mengembalikan hak rakyat Terengganu dalam bentuk bayaran premium tanah, cukai tanah dan perkongsian keuntungan berjumlah puluhan juta ringgit semakin menampakkan sinar cahaya di hujung terowong,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian dalam satu hantaran di laman Facebooknya selepas mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Isu Tanah Felda, kelmarin.

Menurutnya, bersama beliau di pihak kerajaan negeri ialah Pengarah Tanah dan Galian, Pegawai-Pegawai UPEN, Pegawai Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri, Pegawai Perbendaharaan Negeri, Pegawai PTG dan Pegawai Pejabat Menteri Besar.

Tambahnya, pihak Felda pula diketuai Timbalan Pengarah Besar Pembangunan Komuniti Ibu Pejabat Felda, Dato’ Mohd Banuri Aris yang turut disertai Pengarah Kewangan Felda, Pengarah Undang-Undang Felda dan Pengarah Wilayah Felda Terengganu.

Katanya, isu utama ialah seluas 13,686 hektar tanah milik kerajaan negeri yang dibangunkan ladang sawit oleh Felda sejak tahun 1985 dan diserahkan kepada FGV.

Beliau menjelaskan, selama lebih kurang 39 tahun Felda mengusahakan tanah milik negeri tanpa dokumen hak milik sah dan kerajaan negeri sebagai tuan tanah tidak diberikan hak yang sepatutnya.

Menurut ADUN Jabi itu lagi, Felda sudah menuai hasil dan keuntungan hampir 40 tahun.

“Bagaimana rumit pun masalah, perbincangan dalam senyuman mampu merungkai kekusutan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 26/6/2024

- Advertisement -