BlackRock: Kenyataan PMX makin timbulkan lebih banyak persoalan

Ahmad Amzad Hashim
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) berhubung isu penjualan pegangan saham dalam Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) yang dimiliki syarikat pro-Israel, BlackRock  bukan meredakan tetapi menimbulkan lebih banyak persoalan.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim mendapati beberapa perkara telah timbul dari jawapan yang diberikan Ahli Parlimen Tambun di Dewan Rakyat, semalam.

“Saya tengok ada beberapa perkara yang menjadi persoalan antara lain, MAHB merupakan syarikat yang tersenarai dan setiap tahun mencatat keuntungan yang besar.

- Advertisement -

“Bila syarikat mencatat keuntungan yang besar ia sudah tentu memberi pulangan atas pelaburan yang tinggi, pulangan terhadap setiap saham sama ada dalam bentuk dividen, bonus dan sebagainya.

“Sudah tentu syarikat ini yang diapungkan di pasaran saham mempunyai keupayaan untuk menarik pasaran modal untuk melabur.

“Tidak menjadi kesusahan, jadi saya rasa banyak dana institusi milik kerajaan boleh masuk. Jadi situ ramai yang mempertikaikan kenapa Blackrock,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kata Amzad, terdapat laporan menjangkakan kemasukan BlackRock dalam MAHB, antara langkah yang diambil adalah dinyahsenarai.

“Saya tidak tahu sama ada betul atau tidak, jadi apabila dinyahsenarai ia akan ada prosesnya tapi sudah tentu lah apabila ini berlaku apa-apa perkembangan keputusan yang berlaku di dalam syarikat tidak lagi terdedah kepada pengetahuan awam.

“Jadi, ini adalah sesuatu yang dikhuatiri kerana MAHB mengawal aset-aset strategi negara di dalam bentuk pelabuhan.

“Dalam Dewan Rakyat semalam sama ada jawapan atau respons oleh ahli parlimen ada sebut sebelum ini BlackRock pernah mencuba untuk mengambil alih saham di dalam syarikat yang mengawal pelabuhan-pelabuhan di dalam negara melalui GIP juga. 

“Maka, ini adalah suatu perkara yang perlu kita pandang serius dan jangan PM sudah menjawab masalah selesai,” katanya.

Amzad turut melahirkan kebimbangan bahawa tindakan itu mungkin membuka ruang kepada masalah yang lebih besar pada masa akan datang, terutama apabila banyak isu yang membimbangkan telah timbul. – HARAKAHDAILY 26/6/2024