Apa langkah selesai masalah NRW di Kelantan

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan sekali lagi diminta menyatakan perancangan yang dilaksanakan bagi mengatasi isu bekalan air di Kelantan termasuk masalah air tidak terhasil (NRW).

- Advertisement -

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata, usaha itu turut membabitkan komitmen kerajaan negeri untuk melaksanakan langkah penyelesaian bersama persekutuan.

“Minta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan apakah perancangan dan langkah yang akan diambil bagi menyelesaikan masalah bekalan air di Kelantan pada ketika ini.

“Ini terutamanya berkenaan masalah NRW melalui cadangan yang telah dikemukakan oleh kerajaan negeri Kelantan,” katanya semasa mengemukakan soalan tambahan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketika menjawab soalan itu, timbalan Menteri berkenaan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata sebanyak RM69.18 juta diperuntukkan oleh persekutuan bagi mengurangkan kadar NRW.

Beliau berkata, peruntukan tersebut diberikan secara geran kepada Kelantan di bawah program NRW Kebangsaan Pendekatan I yang merangkumi dua pakej bagi mempertingkatkan kemudahan tersebut.

“Ia melibatkan kerja penggantian meter system input volume (SIV), meter pengguna dan pemetaan Geographical Information System (GIS) untuk dapatkan bacaan NRW lebih tepat.

“Peralatan ini diserahkan kepada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) Mac 2023, manakala Pakej II, kerja-kerja penggantian dan pembaikan tangki air dijangka siap pada September 2024,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/6/2024

- Advertisement -