Abg Abidin prihatin luahan, masalah belenggu penduduk

Nyatakan tekad selesai isu tertunggak dan masalah kehidupan warga

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: “Ketika saya membantu arwah Abang Zam di Pusat Khidmat, ramai (penduduk) yang datang mohon bantuan terputus bekalan makanan, bil air dan elektrik tertunggak, juga masalah-masalah lain,” kata Abidin Ismail.

- Advertisement -

Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) PRK N.20 DUN Sungai Bakap itu dalam pengalamannya sebagai Pegawai Khas ADUN Sungai Bakap, Almarhum Nor Zamri Latiff, jelas cukup terkesan menyaksikan realiti denyut nadi hidup warga Sungai Bakap.

“Abang Zam sempat jadi ADUN Sungai Bakap ni sembilan bulan sahaja sebelum meninggal dunia pada 24 Mei lepas. Saya akan sambung kerja-kerja yang tak sempat dilaksanakan Abang Zam, sekiranya PN diberi mandat sekali lagi pada PRK ini.

“Saya akan angkat masalah dan isu rakyat supaya dapat diselesaikan,” ujar Abidin yang ternyata amat menyedari beban sedia wujud, namun tetap tekad dan ikrar untuk melunaskan janji memikul tanggungjawab terhadap perkara itu.

Beliau tampak cukup arif dengan permasalahan di DUN ini terutama paling menghantui penduduk ialah isu bekalan air yang sudah berlarutan sejak enam tahun dahulu, selain tekanan kos sara hidup juga sentiasa menghimpit kebanyakan warga.

Mesra dipanggil Abang Abidin, beliau selaku juga Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Nibong Tebal sudah sekian lama melihat keadaan sebenar kehidupan penduduk, bukan hanya yang mengadu kepada pihaknya, tetapi juga dari kunjungan ziarah ke rumah atau lawatan lokasi.

Katanya, ramai penduduk Sungai Bakap melalui rutin harian kehidupan yang parah akibat tadbir urus kerajaan secara berat sebelah, ditambah oleh keadaan ekonomi semasa di mana menanggung beban kenaikan harga barang tidak berkesudahan.

Beritahunya, di bawah Kerajaan Negeri Pulau Pinang terdapat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), namun hanya berperanan menerima aduan dan memenuhi prasarana di Pusat Khidmat ADUN-ADUN kerajaan sahaja.

“Rakyat bawahan rasa marah kepada kerajaan kerana tidak membantu secara keseluruhan. MPKK kalau ada masalah berkaitan prasarana atau lain-lain, akan maklum ke Pusat Khidmat ADUN kerajaan sahaja.

“ADUN pembangkang tidaklah, sebab tak sama warna (fahaman politik). Jadi kita (pihak ADUN-ADUN pembangkang) kena pusing satu DUN untuk selesaikan sesuatu isu.

“Tapi alhamdulillah, ADUN-ADUN pembangkang mendapat kerjasama baik dari agensi-agensi berkaitan yang memberi khidmat tanpa mengira _‘stand’_ politik,” ujar beliau.

Antara masalah di Sungai Bakap juga Nibong Tebal ini kongsinya, adalah kesesakan lalu lintas trafik terutama di Puteri Gunong khususnya pada waktu puncak iaitu pagi dan petang ketika ramai pergi dan pulang kerja.

“Kesesakan jalan raya itu disebabkan kurangnya lampu isyarat di simpang-simpang penting. Sebelum ni arwah Abang Zam dah buat permohonan dan sudahpun diluluskan serta dibuat semakan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Cuma menunggu peruntukan pengambilan tanah untuk melebarkan jalan,” maklumnya dalam kesempatan ditemubual Harakahdaily dalam kesibukan kempennya di Jawi Tayar, di sini semalam.

Masalah sama tambah beliau, turut berlaku dengan begitu ketara di Tasek Chempedak melibatkan kesesakan dua hingga tiga kilometer, justeru beliau akan terus memperjuangkan pembinaan jalan alternatif di situ. – HARAKAHDAILY 26/6/2024

- Advertisement -