Rombak Kabinet, buang menteri tak ‘perform’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengakui ada kelemahan dan menerima teguran daripada yang disebut olehnya berhubung kejatuhan kedudukan Malaysia ke tangga 34 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2024.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, ini bermakna Malaysia mengalami kelemahan dari sudut memacu ekonomi.

Katanya, hanya berbaki enam tahun lagi untuk mendaki 22 anak tangga untuk mencapai tangga ke-12 dalam indeks daya saing dunia pada 2030.

“Itu satu tempoh yang singkat untuk mendaki anak tangga yang tinggi,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini. (Foto atas)

Beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, turut mencadangkan Anwar agar menukarkan anggota Kabinet yang mencerminkan pemimpin yang berdaya saing.

“Nampaknya seolah-olah kepala kereta api ini dia berjalan laju sorang-sorang.. gerabak tak ikut di belakang. Kita bimbang nanti bila sampai ke tempat yang nak dituju, kepala saja yang sampai, gerabak tak nampak di belakang, tertinggal.

“Jadi saya cadangkan tadi supaya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri tukarlah gerabak-gerabak yang rosak dan tidak ada daya ini, yang lemah ini tukar kepada gerabak-gerabak yang baru, sebab sasaran nak capai ranking ke-12 ini bukan sasaran Perdana Menteri seorang, malah sasaran negara dan Kabinet.

“Indeks daya saing dunia ini mencerminkan indeks daya saing Kabinet, jadi kalau Kabinet dan menteri-menteri kita tak berdaya saing, pecat orang tu, sekat orang ini, tak memacu negara, asyik sibuk berpolitik balas dendam sana sini, saya rasa tak mampu untuk Perdana Menteri capai,” katanya.

Justeru, beliau mendesak Anwar yang juga Menteri Kewangan bahawa akan memaklumkan kepada Kabinet agar segera membuat rombakan.

“Buang menteri-menteri yang tak ‘perform’ ini, lantik menteri-menteri yang boleh buat kerja yang ‘perform’, menteri-menteri yang suka membalas dendam, yang suka pecat orang itu orang ini.. buang!

“Buat apa nak pecat orang itu dan orang ini, suruh menteri itu jadi pembangkang… nak lawan orang boleh, tapi untuk pimpin negara mesti boleh buat kerja, mesti gerabak yang boleh ikut kepala kereta api untuk capai negara yang diingini,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/6/2024

- Advertisement -