Peruntukan RM1.5 juta tambah baik Pasar, Laman Siti Khadijah 

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi membaiki bumbung dan struktur konkrit Pasar Siti Khadijah di tingkat satu dan dua.

Sementara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pula meluluskan RM1 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan bumbung di Laman Siti Khadijah, struktur ‘central doom’ dan konkrit di tingkat bawah. 

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Kesihatan negeri, Hilmi Abdullah berkata, langkah itu adalah untuk membaik pulih serta menceriakan pasar tersebut yang menjadi tarikan pelancong.

“Pada tahun 2021 Pasar Siti Khadijah pernah dinobatkan sebagai Pasar Paling Bersih di Malaysia sempena Sambutan Hari Kebersihan Persekitaran Sedunia Peringkat Kebangsaan.

“Program berkenaan anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan,” katanya. 

Pada tahun ini pula, bandar Kota Bharu dinobatkan sebagai bandar ke-433 terbaik daripada 1,000 bandar daripada 163 negara,” katanya pada Karnival Pasar Bersih dan Ceria di pekarangan Masjid Baro’ah, Pasar Siti Khadijah semalam.

Program berkenaan anjuran bersama Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan Bahagian Kerajaan Tempatan KPKT. 

Oleh itu Hilmi berharap, peniaga meneruskan amalan kebersihan dan keceriaan bagi memastikan Pasar Siti Khadijah terus dipertahan sebagai lambang semangat keusahawanan wanita Kelantan.

Sementara itu, sempena karnival tersebut, Hilmi menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Video Pelancongan dan Foto Pelancongan Kota Bharu.

Hadiah juga turut diberikan kepada peserta pertandingan keceriaan di antara gerai-gerai jualan peniaga di Pasar Siti Khadijah.

Sempena karnival itu turut diadakan program gotong-royong dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan sukarelawan. – HARAKAHDAILY 25/6/2024

- Advertisement -