Pengundi matang tolak isu bersifat serangan peribadi

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Isu sijil kelulusan akademik dan kelayakan yang cuba dimainkan pihak tertentu terhadap calon PERIKATAN NASIONAL (PN) N.20 DUN Sungai Bakap, Abidin Ismail tidak memberi kesan terhadap pengundi.

- Advertisement -

Sebaliknya, pengundi tempatan bersikap rasional di mana kebanyakan mereka lebih mengutamakan khidmat wakil rakyat itu sendiri daripada mempertikaikan status pencapaian akademik calon.

Seorang peniaga pasar malam Taman Pekatra Indah berkata, bagi mereka calon Pilihan Raya Kecil (PRK) ini adalah bakal wakil rakyat, maka mestilah yang mudah didekati masyarakat serta berjiwa rakyat.

“Abang Abidin ini kami semua kenal. Jadi kami yakin Abang Abidin mampu menggantikan ADUN Sungai Bakap, Al-Marhum Abang Zam (Nor Zamri Latiff) dulu,” katanya.

Seperkara lagi, ujar peniaga ayam bakar itu, realiti penduduk DUN Sungai Bakap mahukan wakil rakyat yang lebih dekat di hati mereka serta diyakini akan mewakili segala hal ehwal kepentingan warga.

Walaupun suasana pilihan raya hampir di setiap Unit Daerah Mengundi (UDM) masih belum mencapai bahang kehangatan, namun kecenderungan pengundi dapat dilihat berdasar perbualan dan percakapan.

Perkara itu diakui oleh salah seorang ADUN Negeri Melaka yang ditemui ketika tinjauan Harakahdaily ke Unit Daerah Mengundi (UDM) PN, Sungai Kechil, di sini semalam.

“Saya yakin DUN Sungai Bakap berpotensi kekal di tangan PN kerana setiap empat orang pengundi yang ditanya, tiga daripadanya memilih calon PN,” kata beliau yang hadir ke N.20 DUN Sungai Bakap untuk berkempen serta memberi sokongan kepada calon PN.

Dalam pada itu, isu kenaikan harga diesel turut menjadi sebutan para pengundi khususnya peniaga yang terpaksa berhadapan dengan implikasi kos harga barang.- HARAKAHDAILY 25/6/2024

- Advertisement -