Pelajar jalani latihan industri wajar diberi perlindungan

Dato' Mumtaz Md Nawi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadangkan supaya membentuk satu mekanisma bagi memberi perlindungan kepada pelajar yang sedang menjalani latihan industri atau praktikal dalam agensi kerajaan dan swasta.

- Advertisement -

Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berkata, ada negara yang mewajibkan institusi pengajian tinggi (IPT) supaya memberikan jaminan kepada pelajar terbabit sekiranya berlaku insiden tidak diingini.

“Apakah perlindungan insurans diberikan kepada pelajar internship yang sekarang ini berada di seluruh negara kerana ada negara yang mewajibkan untuk memberikan perlindungan kepada pelajar mereka?

“Sekarang ini majikan tak bayar sebab bukan pekerja mereka tetapi kalau universiti tak bayar juga akan jadi masalah sekiranya mereka ini hadapai kemalangan atau pun kecederaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Malaysia itu turut mencadangkan pusat bersepadu mengesahkan maklumat pendapatan pekerja swasta seperti Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS).

“Di manakah kita dapat sahkan maklumat ini supaya ada pusat pekerja swasta yang mereka ini akan dibentuk oleh sumber manusia masing-masing supaya mereka mengetahui hak dan tanggungjawab mereka.

“Lebih-lebih lagi mereka yang tidak dapat bekerja, pekerja sendiri pula dan sebagainya, bagaimana nasib keluarga mereka sekiranya diberhentikan kerja secara tiba-tiba,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/6/2024

- Advertisement -