KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) disaran supaya pergi mendapatkan pencarum-pencarum yang ditimpa musibah bagi menguruskan soal tuntutan mereka.
Dato’ Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) berkata, ini bagi memberikan kemudahan kepada mereka yang sedang berada dalam kesusahan yang menghadkan kemampuan mereka untuk menguruskan perkara tersebut.
Jelasnya, melalui kaedah itu, para majikan perlu melaporkan kepada pihak PERKESO sebagai pemakluman secara automatik sebaik seseorang pencarum itu berhenti akibat sesuatu musibah.
“Sekiranya pekerja itu berhenti, dia nak buat tuntutan dalam keadaan dia gaji rendah, susah, gelisah, keluarga bermasalah dan sebagainya.
“Biar ianya menjadi automatik. Majikan secara automatik dengan menggunakan sistem tertentu memaklumkan kepada PERKESO bahawa dia telah berhenti kerja,” katanya sewaktu membahaskan bagi Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Pindaan 2024) Akta 800 di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambahnya, dengan cara itu PERKESO tidak perlu lagi menunggu seseorang pencarum itu datang membuat tuntutan dengan mengambil masa berbulan-bulan sedangkan dalam masa yang sama mereka sedang dalam sengsara akibat kemalangan.
“Kita nak ambil duit daripada orang, kita minta dia orang bayar duit. Tapi bila orang nak tuntut, kita paksa orang itu kena datang balik,” katanya.
Beliau turut percaya bahawa jika PERKESO dapat melakukan perkara itu organisasi tersebut akan menjadi organisasi yang terbaik di dunia. – HARAKAHDAILY 25/6/2024