Menteri Besar Perlis lawat mangsa ribut dirawat di HTF

- Advertisement -

KANGAR: Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli meluangkan masa melawat mangsa ribut yang mengalami kecederaan dan sedang dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini petang semalam.

- Advertisement -

Kejadian tersebut berlaku ketika keluarga Muhammad Danish Hakim Hanizam dalam perjalanan bersama pulang dari kedai makan milik mereka setelah hujan reda.

Akibat kejadian itu Muhammad Danish mengalami patah tulang paha kanan, sementara isterinya, Nuraleya Syazreena, mengalami pendarahan dalam kepala dan patah tulang pinggang kiri dan kanan.

Nuraleya kini sedang menerima rawatan intensif di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan lebih menyedihkan, bayi dalam kandungan mereka yang berusia lima bulan disahkan meninggal dunia.

Mohd Shukri menyatakan rasa simpati dan berharap agar pasangan tersebut kuat menghadapi ujian ini serta menyeru rakyat Negeri Perlis sama-sama mendoakan kesembuhan mereka dan tiada kemudaratan yang berpanjangan.

Dalam kejadian ribut yang sama, sebanyak 36 rumah kediaman mengalami kerosakan terutama pada struktur bumbung melibatkan beberapa kawasan termasuk Behor Mentaloon, Chemumar, Tambun Tulang, Batu 5, Mata Air, Sungai Padang, dan Oran.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor berkata, bantuan akan diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan MAIPs berdasarkan tahap kerosakan yang dialami.

Bagi kerosakan perniagaan, laporan harus dibuat kepada Majlis Perbandaran Kangar (MPK) untuk tindakan lanjut oleh agensi pemberi bantuan.

Kejadian ribut pada Jumaat lalu terjadi sekitar jam 7 pagi, sementara ribut pada Sabtu berlaku pada jam 2 pagi. – HARAKAHDAILY 25/6/2024

- Advertisement -