KUALA LUMPUR: Masalah mental yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak kini menjadi salah satu isu kesihatan yang membimbangkan.
Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) berkata, berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan didapati satu daripada enam kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah mental.
“Begitu juga 16.5 peratus kanak-kanak mengalami masalah kesihatan mental dan didapati 4.6 peratus kanak-kanak yang berumur lebih daripada 15 tahun mengalami masalah kemurungan.
“Soalannya apakah strategi dan pendekatan khusus kerajaan merentas kementerian dalam menangani masalah kesihatan mental kanak-kanak termasuk aspek pembangunan psikososial untuk kanak-kanak?” katanya sewaktu mengajukan soalan tambahan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Menjawab pertanyaan tersebut, Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Lukanisman Awang Sauni berkata isu itu perlu dilihat secara dasar dan juga pihak kementerian-kementerian yang lain seperti Kementerian Belia Dan Sukan (KBS), Kementerian Sumber Manusia.
“Kementerian-kementerian berhubung kait dengan masalah mental ini haruslah bekerja bersama tidak bekerjasama dan tidak bekerja secara bersendirian juga khususnya kepada Kementerian Pendidikan juga.
“Satu kerjasama yang erat haruslah diperkukuhkan dalam memberikan perkhidmatan kesihatan mental kepada pelajar,” ujar beliau.
Katanya, sebagai contoh KKM mempunyai program rakan sebaya ataupun kaunseling dan sedang dalam cadangan untuk memperluaskan Program Doktor Muda yang memfokuskan kepada kesihatan mental kepada pelajar.
“Kita mempunyai faksiliti kesihatan yang terdapat di Pusat Kesihatan kita seperti Mentari dan juga terdapat 1,088 klinik kesihatan dan juga 64 hospital menyediakan perkhidmatan kesihatan mental di seluruh negara.
“Juga kita mempunyai Pelan Tindakan Kesihatan Mental yang sedang dibangunkan KKM dan juga pelan tindakan ini akan merentas kementerian di mana saya dapat melihat setiap kementerian dapat menggunakan model ataupun pelan tindakan yang disediakan oleh KKM ini sebagai rujukan bagi melaksanakan program-program berkaitan tentang kesihatan mental,” katanya.
Dalam soalan asal, Siti Zailah meminta Menteri Kesihatan menyatakan bilangan kes yang diterima menerusi Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental sehingga kini serta apakah tindakan susulan yang diambil untuk membantu golongan yang memerlukan.
Beliau juga ingin tahu status penubuhan Institut Kesihatan Mental seperti yang disyorkan dalam KSP RMKe-12. – HARAKAHDAILY 25/6/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!