KIAS, 13 IPT Indonesia meterai Mou

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan 13 Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Riau, Indonesia.

MoU tersebut diadakan dengan kerjasama Badan Kerjasama Perguruan Tinggi Keagamaan Islam Swasta (BKS-PTKIS RIAU-KEPRI), menyaksikan KIAS diwakili Dekan Fakulti Pengajian Islam Kontemporari, Dr Shafwan Ismail, manakala BKS-PTKIS RIAU-KEPRI diwakili Dekannya, Prof Dr Zulkifli Rusby.

- Advertisement -

Majlis MoU yang disaksikan Rektor KIAS, Prof Emeritus Dr Ab Aziz Mohd Zin itu diadakan bersempena International Conference On Transformation Of Islamic Higher Education (INTRANS 24) di Nilam Puri semalam.

Antara institusi pengajian Indonesia yang terlibat dalam MoU itu termasuklah Institut Agama Islam (IAI) Lukman Edy, Institut Agama Islam (IAI) Diniyyah Pekanbaru, Sekolah Tinggi Agama Islam (STAI) Hubbulwathan Duri, Institut Sains Al-Quran Syekh Ibrahim.

Selain itu ialah Sekolah Tinggi Agama Islam (STAI) Nurul Falah Airmolek, Sekolah Tinggi Agama Islam (STAI) al-Kifayah Riau, Sekolah Tinggi Agama Islam (STAI) Madinatun Najah Rengat, Sekolah Tinggi Agama Islam (STAI) Imam Syafi’i Pekanbaru dan Sekolah Tinggi Agama Islam (STAI) Sultan Syarif Hasyim Siak.

Ab Aziz berkata, kerjasama tersebut akan membuahkan hasil positif demi kepentingan dunia pendidikan antara kedua-dua pihak.

Menurutnya, pendidikan yang berteraskan wahyu hendaklah berada pada tahap kualiti yang paling tinggi berbanding bidang pendidikan lain.

“Untuk mencapai impian itu subjek pengajian mesti berkualiti sesuai dengan keperluan hidup manusia zaman kini.

“Tenaga pengajar juga mesti dalam kalangan mereka yang berkualiti serta berilmu agar penuntut memperolehi ilmu dari pengajar yang berilmu,” katanya.

Terdahulu, berlangsung sesi pembentangan kertas kerja membabitkan tiga wakil KIAS dan empat representatif BKS-PTKIS RIAU-KEPRI. – HARAKAHDAILY 25/6/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!