Jangan masuk campur: Amaran Turkiye terhadap Cyprus

Hakan Fidan (FOTO: Anadolu Agency)
- Advertisement -

ANKARA: Turkiye mendakwa Cyprus telah menjadi ‘pusat operasi’ dalam perang Israel-Hamas di Semenanjung Gaza, sambil memberikan amaran kepada negara jirannya di Mediterranean itu agar jangan masuk campur dalam konflik berkenaan.

Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan dalam kenyataannya mendakwa laporan risikan negaranya mendapati bahawa beberapa buah negara tertentu telah menggunakan kawasan  Pentadbiran Cyprus Yunani di Selatan Cyprus sebagai pangkalan tentera, terutamanya untuk operasi serangan di Gaza, lapor AFP.

“Apabila anda menjadi sebahagian daripada peperangan yang sedang berlaku di Timur Tengah, ‘api’ ini akan datang dan menemui anda juga, dan apabila kita berkongsi geografi yang sama, ia akan datang dan melanda kita juga.

“Nasihat kami kepada mereka adalah menjauhi konflik ini,” katanya ketika ditemubual media HaberTurk

- Advertisement -

Turkiye juga turut menuduh pentadbiran Cyprus telah membenarkan dua pangkalan United Kingdom (UK) di pulau itu untuk digunakan sebagai penghantaran senjata Amerika Syarikat ke Israel dalam perang di Gaza. 

Republik Cyprus mahupun UK dalam pada itu tidak mengiktiraf penggunaan pangkalan itu dalam perang kecuali untuk tujuan kemanusiaan.

Fidan juga menyifatkan penggunaan pangkalan itu sebagai pangkalan logistik untuk bantuan kemanusiaan sebagai aktiviti yang menyembunyikan status mereka sebagai pangkalan tentera.

Amaran Menteri Luar itu dikeluarkan tidak sampai seminggu selepas Ketua Hizbullah, Hassan Nasrallah pada Rabu lalu mengancam dengan mendakwa mereka telah dimaklumkan bahawa Israel boleh menggunakan lapangan terbang dan pangkalan Cyprus jika Hizbullah menyerang lapangan terbang Israel.

Turkiye sebelum ini tidak mengiktiraf Cyprus sebagai anggota Kesatuan Eropah (EU), susulan kepulauan itu telah dibahagikan secara etnik antara Cyprus Turkiye dan Cyprus Yunani sejak rampasan kuasa tentera Yunani dan campur tangan tentera Turkiye pada 1974. 

Hanya Republik Turki Cyprus Utara yang berpisah daripada Republik Cyprus diiktiraf oleh Turkiye sehingga kini. – Agensi/– HARAKAHDAILY 25/6/2024

- Advertisement -