Isu MAHB-BlackRock: Umumkan pendirian rasmi PMX di Parlimen

Mohd Zai menggesa PMX membatalkan apa jua perjanjian berkaitan penjualan saham MAHB kepada syarikat yang kaitan dengan syarikat pro-Israel, BlackRock.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menggesa Perdana Menteri (PMX) membatalkan apa jua perjanjian berkaitan penjualan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat yang kaitan dengan syarikat pro-Israel, BlackRock; dan pendirian rasmi mesti diumumkan kepada Parlimen dan rakyat.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, pihaknya bersama pendirian pimpinan NGO Sekretariat Selamatkan Negara membantah penjualan saham MAHB kepada Global Infrastructure Partners (GIP), yang merupakan syarikat milik penuh BlackRock.

- Advertisement -

“Ini merupakan tragedi paling buruk kepada keselamatan dan kedaulatan negara serta pendirian tegas umat Islam di negara ini berkaitan pembantaian umat Islam di Palestin oleh zionis Israel,” katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, adalah amat ganjil dan tidak munasabah aset strategik pangkalan udara negara boleh dilepaskan dengan mudah kepada pihak asing yang diketahui umum adalah pendokong dan pembekal senjata kepada negara haram Israel yang membantai umat Islam di Palestin.

Tambah beliau, ini bercanggah dengan polisi dan dasar negara yang selama ini tidak mengiktiraf Israel dan mana-mana pihak yang bersekutu dengannya. 

“Keputusan dan tindakan ini merupakan satu pengkhianatan kepada amanah rakyat dan negara. UMMAH yakin tindakan ini tidak direstui dan ditentang oleh rakyat, serta akan dikenang sebagai suatu tindakan paling buruk dan khianat.

“Amat naif jika kerajaan tidak mengetahui BlackRock adalah syarikat proksi Yahudi Israel kerana maklumat syarikat ini boleh diakses secara jelas dan nyata di seluruh dunia,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu berkata, apa pun alasan sama ada ekonomi dan perdagangan, ia tidak boleh mengatasi soal keselamatan dan aset strategik negara, juga kepentingan dan kedaulatan umat Islam di Palestin. 

“UMMAH tidak teragak-agak dan mengadakan himpunan rakyat secara besar-besaran seluruh negara bagi membantah perkara ini.

“Ini pernah berlaku apabila rakyat membantah kerajaan meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD),” katanya. – HARAKAHDAILY 25/6/2024

- Advertisement -