Isu MAHB-BlackRock: Tiga hujah jawab auta Kerajaan Madani

Nurul Islam Mohamed Yusoff
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Kepada PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim), cukuplah nak menegakkan benang yang basah. Hentikanlah cadangan pelaburan oleh BlackRock.”

Pemerhati politik, Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata demikian bagi menjawab apa yang disifatkannya sebagai ‘auta’ (temberang) Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu BlackRock, dengan memberikankan tiga hujah untuk menjawab isu berkenaan.

- Advertisement -

Menerusi hantaran di laman Facebook miliknya, yang turut dikongsikan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS), beliau memaklumkan bahawa BlackRock melalui Global Infrastructure Partners (GIP) memiliki pegangan saham dalam London City Airport, Sydney Airport, Gatwick Airport dan Edinburgh Airport.

“Dengar bunyi macam ‘gah’ kan? Tapi ingat, bukan semua dari oversea (luar negara) hebat. Airport (lapangan terbang) yang dipegang oleh GIP bukan duduk senarai ‘Top 10’ pun.

“Lainlah kalau yang datang tu operator (syarikat pengendali) Doha Airport yang merupakan lapangan terbang nombor satu dunia, ataupun Seoul Incheon Airport yang merupakan lapangan terbang nombor tiga dunia,” katanya menerusi hantaran tersebut.

Tambahnya, semua lapangan terbang yang diuruskan oleh BlackRock sekadar menduduki tangga 48, 55 dan 82 dalam ranking SkyTrax World Airport.

“Kuala Lumpur International Airport (KLIA) duduk tangga ke berapa? 71. Lebih kurang sahaja  pun dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB). Jadi apa nilai tambah untuk MAHB?

“Kalau setakat uruskan lapangan terbang antarbangsa, anda pun tahu MAHB sekarang ini sedang menguruskan Sabiha Gokcen International Airport di Turkiye.

“Malah, lebih daripada 50 peratus keuntungan bersih MAHB datang daripada operasi antarabangsanya di lapangan terbang itu,” jelasnya.

Bagi hujahan kedua, Nurul Islam menegaskan bahawa BlackRock telah dijemput oleh kerajaan terdahulu untuk menguruskan pelaburan syariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Untuk pengetahuan, betul, BlackRock sudah lama bertapak dalam negara kita. Namun, kebanyakan pelaburan ini adalah melalui open market (pasaran terbuka).

“Beza dengan apa Kerajaan Madani cuba buat dengan menjemput mereka untuk ambil alih 30 peratus saham MAHB. 

“Lagipun kita kena faham, desakan memboikot bermula pasca 7 Oktober sebagai satu tekanan antarbangsa kepada Israel dan Amerika Syarikat.

“Macam kita makan McDonald’s dan minum Starbucks, sebelum 7 Oktober 2023 elok sahaja kita makan dan minum. Namun, selepas 7 Oktober 2023, atas semangat untuk boikot, kita tinggalkannya,” katanya.

Isu ini menurutnya, adalah Kerajaan Madani tidak mahu membatalkan cadangan pengambilalihan oleh BlackRock. 

Menjawab kenyataan kerajaan sebelum ini yang mendakwa pelaburan BlackRock dalam MAHB akan mendapatkan manfaat kepada ekonomi negara, beliau berkata, MAHB adalah sebuah entiti yang mencatatkan keuntungan.

Berikut merupakan keputusan kewangan MAHB yang dikeluarkan sebelum, semasa dan selepas Covid-19: 

2023: Untung RM543.2 juta dengan 119.5 juta penumpang

2022: Untung RM187.2 juta dengan 81.9 juta penumpang

2021: Kerugian RM766.4 juta dengan 36.1 juta penumpang

2020: Kerugian RM111.6 juta dengan 43 juta penumpang

2019: Untung RM537 juta dengan 141.2 juta penumpang

“Data di atas menunjukkan MAHB sudah hampir pulih dari sudut prestasi kewangan dan juga jumlah penumpang. Jadi, persoalan yang perlu dijawab oleh PMX adalah celah mana untungkan ekonomi negara?

“Cukup tiga hujah ini nak menjawab auta penyokong Kerajaan Madani yang kuat membongak demi ‘nak jilat’ PMX,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/6/2024

- Advertisement -