Insurans pekerjaan bantu Faisal Halim

Dr Siti Mastura Muhammad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Walaupun ditimpa kemalangan di luar waktu kerja, namun pemain bola sepak profesional Selangor, Faisal Halim tetap menerima perlindungan kerana wujudnya Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

- Advertisement -

Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) berkata, walaupun kecederaan itu berlaku di luar waktu kerja, namun Faisal boleh menerima bantuan rawatan awal dan pemulihan.

Katanya, ia disebabkan majikannya mencarum di bawah Akta 4 Perkeso bagi kedua-dua skim iaitu bencana pekerjaan dan keilatan.

“Kejadian malang menimpa penyerang sayap kebangsaan ini menunjukkan bahawa Selangor FC, The Red Giant FC Sdn Bhd telah mencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial 1969 Akta 4 dan juga Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 Pindaan 2024, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu membahaskan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Pindaan 2024) Akta 800 di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan itu, beliau turut mencadang agar bantuan rawatan awal dan pemulihan juga turut dapat dipanjangkan ataupun diperhalusi kepada para pencarum lain yang cedera ataupun kemalangan ketika di luar waktu kerja.

“Ada dalam kalangan para pekerja berkemahiran tinggi ini melihat tubuh badan mereka sebagai aset paling penting untuk melakukan pekerjaan.

“Misalnya seorang pengimpal kapal. Sekiranya berlaku kemalangan ke atas salah satu anggota badannya kerana terlibat dengan kemalangan di luar waktu kerja sudah pasti ia akan memberikan impak dan kesan negatif terhadap kemampuannya untuk bekerja,” ujar beliau.

Tambahnya, bagi yang tidak mampu mengambil insurans nyawa peribadi sudah pasti melihat caruman Perkeso sebagai talian hayat untuk membantu ketika saat memerlukan.

Selain itu, beliau turut membangkitkan tentang sesetengah majikan yang mendaftarkan diri sendiri sebagai pekerja dengan mengambil gaji asas seperti pekerja lain.

“Justeru Kepala Batas ingin tahu adakah sistem insurans pekerjaan ini akan turut membantu para majikan mendaftarkan diri mereka sebagai pekerja?

“Adakah mereka akan turut mendapat faedah ataupun manfaat seperti mana yang termaktub di bawah Akta 800? Sekiranya tidak adakah pihak kerajaan bersedia untuk menimbangkan perkara ini?” soalnya.

Tambahnya, bagi rakyat, dalam keadaan perniagaan yang sedang merosot atau mengalami kekangan kewangan sudah pasti ia dapat membantu meringankan beban yang sedang ditanggung. – HARAKAHDAILY 25/6/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -