Indeks Daya Saing jatuh kerana tindakan tidak berintegriti?

Dato' Rosol Wahid
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menjelaskan mengapa pemberian subsidi pada tahun lalu tidak menjejaskan laporan Malaysia dalam Indeks Daya Saing Dunia 2024.

- Advertisement -

Dato’ Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu), berkata beliau meneliti dan khusyuk terhadap jawapan yang diberi oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bahawa kejatuhan itu banyak dikaitkan dengan budaya saing dan penyasaran subsidi.

“Apa pandangan Yang Amat Berhormat Tambun bahawa indeks ini jatuh kerana terdapat beberapa tindakan pihak yang tidak berintegriti?

“Sebagai contoh, seorang guru (penjawat awam) merungut bahawa jangan percaya sangat terhadap Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bahawa gaji meningkat sebanyak 15 peratus pada akhir tahun ini.

“Bila ada pihak yang merungut, individu yang melaporkan perkara itu akan diambil tindakan dan bukannya kes itu disiasat. Jadi, apakah ini juga berkait dengan penurunan indeks?” katanya ketika mencelah pertanyaan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar berkata, jika dahulu penyasaran subsidi telah dimulakan, ia tetap tidak menjejaskan kerana masih belum dirangka.

“Sebab itu, Indonesia pada dua tahun lalu mengambil tindakan yang agak keras isu harga beras, tepung dan gula kerana telah melonjak ke atas, dan begitu juga harga barang di Thailand,” katanya.

Beliau berkata, maklumat lain akan diberikan secara terperinci.

Selain itu, beliau mengakui bahawa kerajaan mengalami masalah kekangan kewangan walaupun isu kenaikan gaji penjawat awam masih timbul.

“Saya sebagai ‘bapa’ penjawat awam fikir juga sebab dah 12 tahun tidak ada kenaikan (gaji), sebab itu kita akan pertimbangkan, dan kalau naik pun, naik sedikit ala kadar pun tidak membantu.

“Tetapi saya tidak fikir bahawa perkara tersebut yang menjadi punca turut menjejaskan kejatuhan Malaysia jika penyasaran subsidi berlaku dan kerangka ekonomi keseluruhannya itu diperbaiki,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/6/2024

- Advertisement -