Gerak kerja PRK DUN Sungai Bakap lancar dan meriah

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.20 DUN Sungai Bakap berjalan dengan baik tanpa sebarang insiden tidak diingini dari penyokong kedua-dua calon yang bertanding.

- Advertisement -

Petugas pilihan raya PERIKATAN NASIONAL (PN) yang datang dari seluruh negara, dilihat giat bertemu pengundi selain membantu rutin gerak kerja pesta demokrasi ini.

Kerja-kerja merayu undi dan sebaran maklumat calon, Abidin Ismail yang mesra dikenali sebagai ‘Abang Abidin’ terlaksana dengan lancar, malah mendapat sambutan baik dari penduduk tempatan.

Semua lapan Unit Daerah Mengundi (UDM) PN begitu menyerlahkan peranan masing-masing melalui jentera pilihan raya petugas tempatan mahupun kawasan serta negeri bantu.

Walau bagaimanapun perang poster, bendera dan lain-lain kelihatan masih di peringkat sederhana, namun ada di beberapa UDM sudah begitu meriah dan agak rancak.

Hingga pada sebelah malam, petugas pilihan raya PN berkongsi bahawa penduduk setempat turut meninggalkan kediaman mereka bagi mengikuti ceramah kelompok yang menghidangkan pelbagai isu.

Seramai 39,279 pengundi tersenarai dalam daftar pemilih bakal melaksanakan tanggungjawab membuang undi pada PRK N.20 DUN Sungai Bakap yang akan berlangsung pada 6 Julai depan.

Jumlah pengundi tersebut secara pecahan bangsa akan membabitkan 23,765 (Melayu), 6,554 (India) dan 8,960 (Cina), yang melibatkan lapan UDM di 10 pusat mengundi.

Lapan UDM tersebut Padang Lalang dengnn jumlah pengundi seramai 3,732, Puteri Gunong (14,417 pengundi), Tasek Junjong  (2,705 pengundi) dan Sungai Duri (5,745 pengundi).

Manakala UDM Sungai Bakap (7,375 pengundi), Ladang Sempah (1,335 pengundi), Sungai kechil (2,329 pengundi) dan Kampung Besar seramai 1,641 pengundi.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, PN menang di semua UDM tersebut kecuali UDM Sungai Bakap dan Puteri Gunong, sementara UDM Sungai Duri mencatatkan kemenangan paling tinggi iaitu 83 peratus.

Pada 6 Julai ini dua calon iaitu daripada PN, Abidin Ismail dan daripada PH, Dr Joohari Ariffin, bakal berentap untuk memenangi kerusi N.20 DUN tersebut.

Dalam pada itu, tiada pusat mengundi akan dibuka pada hari pengundian awal yang dijadualkan pada 2 Julai ini di mana antaranya melibatkan 57 anggota polis.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya N.20 DUN Sungai Bakap, Khairulnizam Hashim mengesahkan perkara itu berkata, kesemua mereka yang mengundi awal pada PRK itu akan menggunakan undi pos.

PRK N.20 DUN Sungai Bakap diadakan berikutan kematian penyandangnya (ADUN), Nor Zamri Latif atau lebih dikenali sebagai ‘Abang Zam’ pada 24 Mei lalu.

Zamri (PN) pada PRN15 lalu berjaya mengalahlah calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.- HARAKAHDAILY 25/6/2024

- Advertisement -