Erawan Industries kilang silinder LPG terbesar di Pantai Timur

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengalu-alukan mana-mana syarikat yang berminat membangunkan industri mereka di negeri tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan, Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman berkata, kerajaan negeri mengamalkan pintu terbuka bagi menerima kehadiran pelabur.  

- Advertisement -

“Kita sentiasa berusaha membantu pelabur yang berminat. Kerajaan negeri sedia bertindak sebagai pemudah cara kepada syarikat-syarikat yang berminat melabur di Kelantan,” katanya pada majlis ulang tahun syarikat Erawan LMW Industries Sdn. Bhd., di sini, malam tadi.

Erawan LMW Industries merupakan kilang pembuatan silinder gas LPG yang terbesar di Pantai Timur, sebelum ini dikenali sebagai Silinder LPG Keloil Sdn. Bhd. mula beroperasi pada tahun 1998 di Kampung Kemayang, Tawang, Bachok.

Silinder LPG Keloil pula sebelum ini merupakan anak syarikat milik Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan.

Menurut beliau, pada pertengahan 1990-an, kerajaan negeri Kelantan telah menyedaikan ribuan ekar tanah  di Kampung Kemayang sebagai perancangan untuk mewujudkan industri petrokimia.

“Bagaimanapun perancangan itu tidak menjadi kenyataan berikutan gas daripada dasar laut Kelantan didaratkan di Songkhla, Thailand,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/6/2024

- Advertisement -