Atasi penyalahgunaan kontrak perkhidmatan tetap

Roslan Hashim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KSM) perlu memastikan kelompangan perlindungan kepada pekerja status kontrak di bawah Akta 800 dapat mengatasi masalah penyalahgunaan kontrak perkhidmatan tetap seperti pekerja pembersihan.

- Advertisement -

Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) berkata, ini termasuk ratusan ribu pekerja di negara ini sedang bekerja sebagai pekerja perkhidmatan sokongan seperti tukang kebun dan pengawal keselamatan di sekolah-sekolah kerajaan yang perlu diambil perhatian.

“Mereka ini diupah syarikat kontraktor yang mendapat kontrak daripada kerajaan. Apa yang berlaku ialah majikan mereka telah menggunakan kontrak bertempoh tetap fix term contract untuk mengupah mereka.

“Ini merupakan satu penyalahgunaan kontrak perkhidmatan bertempoh tetap kerana kerja yang bergaji rendah ini adalah kerja yang tetap bukannya kerja sementara, kerja bermusim ataupun kerja sekali habis,” ujar beliau semasa membahaskan Rang Undang-undang Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Sehubungan dengan itu, Roslan berkata penggunaan kontrak bertempoh tetap telah memudahkan pihak majikan untuk memberhentikan pekerja sesuka hati dengan alasan habisnya tempoh kontrak perkhidmatan dan menyebabkan mereka tidak mendapat perlindungan di bawah SIP (Sistem Insurans Pekerja).

“Justeru Akta 800 ini perlu melihat kepada kelompongan perlindungan kepada pekerja dengan status kontrak seperti ini,” jelas beliau.

Selain itu, menurutnya RUU itu juga harus memikirkan isu bagi pencarum yang berdepan dengan masalah kehilangan pekerjaan akibat majikan yang bankrap ataupun muflis.

“Adakah terdapat inisiatif tambahan dan berapakah penerimaan manfaat yang tergolong di bawah SIP setakat ini?

“Persoalannya juga, apakah usaha penambahbaikan dari segi tuntutan kemudahan atau ganti rugi yang layak dibuat sekiranya pencarum mempunyai insurans peribadi. Dan pada masa yang sama merupakan pencarum di bawah SIP,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 25/6/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!