KUALA LUMPUR: Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) mendedahkan beberapa bahan-bahan bercetak yang mengandungi foto-foto dan tangkap layar berkaitan pertemuan dan perbualan dalam talian beliau dengan pihak yang merundingkan tawaran untuk mengubah sokongan kepada kerajaan.
Menurutnya, bahan-bahan tersebut sepatutnya dibentangkan sebagai bukti sekiranya beliau dirujuk kepada Jawatankuasa Parlimen di bawah peraturan mesyuarat 80A iaitu ‘Kuasa Majlis untuk menghukum kerana menghina Majlis’.
“Ada yang kata bahawa betulkah perjumpaan tu berlaku? Jadi saya nak tunjuk bahawa ini satu bukti. Sepatutnya nak tunjuklah dalam Dewan tadi, tapi mereka tak bagi. Ini adalah gambar perjumpaan tersebut salah satu daripada perjumpaan tersebut. Jadi macam mana nak kata tidak berlaku?
“Ada pula yang kata perjumpaan ini bahawa betul ke ada usaha untuk mempengaruhi kelakuan saya dalam dewan? Ada yang tanya. Saya nak dedahkan perkara ini dalam siasatan Jawatankuasa 80(A) bahawa memang ada usaha,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini. (Foto atas)
Beliau telah menunjukkan beberapa gambar dan tangkap layar bercetak yang mendedahkan perbualan di aplikasi WhatsApp dengan seorang individu yang memintanya untuk membuat satu kenyataan mengikut deraf yang turut disertakan sekali pada 28 Februari lepas.
“Jadi deraf kenyataan itu pun ada. Ini bukti bahawa kacau ganggu itu benar-benar berlaku. Untuk mengajak dan memaksa dan dan membawa saya menyokong Anwar Ibrahim. Tetapi dia silap orang sikit.
“Tetapi ini jangkaan saya. Apabila saya buat pendedahan pada hujung Februari yang lalu ialah sebab ada masa itu dia katalah bahawa mereka sedang cuba untuk mendekati beberapa orang lagi Ahli-ahli Parlimen Bersatu. Dengan pendedahan yang saya buat semua tu terpaksa berhenti kata mereka, kata mereka,” ujar beliau.
Dalam persidangan sesi pagi tadi, semua Ahli Parlimen Pembangkang bertindak keluar Dewan apabila Speaker, Tan Sri Johari Abdul membenarkan Wan Saiful dirujuk kepada Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan Ahli Parlimen di bawah Peraturan Mesyuarat 36(12) dengan menyifatkan ia sebagai subjudis.
Meskipun beberapa Ahli Parlimen pembangkang turut bangkit mempersoalkan isu sama, Johari tetap membenarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said untuk membentangkan usul terbabit, yang kemudian disokong timbalannya, M Kulasegaran.
Kata Wan Saiful, beliau bersedia untuk berbahas, namun bersama-sama dengan rakan-rakan Ahli Parlimen yang lain berpegang bahawa usul itu detektif yang sepatutnya tidak dibahaskan langsung.
“Pagi ni sepatutnya saya berada di mahkamah. Malahan peguam saya memang ada di mahkamah pagi tadi sebab hari ini adalah hari perbicaraan, besok hari perbicaraan.
“Tetapi terpaksa berada dalam Dewan sebab usul yang dibawa. Kalau nak bercakap mengenai siapa yang mengganggu perjalanan mahkamah, usul ini yang mengganggu perjalanan mahkamah. Sebab usul ini menyebabkan hari ini tak boleh nak bicara,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/6/2024