PN jamin kebebasan amal agama, budaya, bersuara

- Advertisement -


NIBONG TEBAL: PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) menjamin kemenangan mendapatkan kerusi pilihan raya dan pemerintahan kerajaan akan dipastikan keadilan untuk semua rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang sokongan politik.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ini kerana parti itu mengamalkan pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang salah satu terasnya adalah tidak berdendam termasuk kepada lawan politik.

“Bukan kita nak mendabik dada. Tapi kita nak cerita realiti politik. Selepas kita ambil tampuk pemerintahan dalam PRU14, kita menunaikan janji yang kita janji kepada rakyat. Tidak pilih warna politik, kita tidak berdendam.

“Walaupun sepanjang Barisan Nasional (BN) memerintah negeri Terengganu, apa yang mereka tak buat kepada PAS sebelum daripada adanya PN lagi bantuan-bantuan di tapis. Wakil-wakil rakyat (PAS) tidak diberikan peruntukan.

“Kemudian ketika PAS memerintah pada tahun 1999 sehingga 2004, ditarik royalti minyak. Bila kita menang tahun 2018, kita beri peruntukan kepada ADUN-ADUN BN. Seramai 10 orang pada ketika itu.

“Kita juga memberi bantuan kepada rakyat tanpa memilih warna parti politik, bantuan Aidilfitri, i-Siswa, pencen rakyat dan juga lesen percuma kepada belia,” ujarnya yang juga berkongsi pengalaman PAS-PN di Terengganu.

Beliau berucap dalam Ceramah Perdana PRK N.20 DUN Sungai Bakap, Unit Daerah Mengundi (UDM) Puteri Gunong di pekarangan PASTI As-Solihin, Bandar Tasek Mutiara, di sini kelmarin.

Jelasnya, pendekatan BPMS tersebut menjadi rahsia penerimaan rakyat kepada PAS-PN di Terengganu hinggakan sokongan padu turut diterima daripada penyokong Umno-BN yang diperlihatkan apabila parti itu menang 32-0 di negeri itu.

“Di sini saya ingin mengajak pengundi-pengundi khususnya kaum Melayu, Cina, India di Sungai Bakap ni. Kawan-kawan rakan-rakan kita daripada kalangan ahli penyokong Umno-PN untuk memberikan undi mereka kepada PN.

“Kerana kita mengamalkan politik matang dan sejahtera. Kita tidak berdendam. Tidak seperti PH dan BN. Apa yang mereka lakukan pada hari ini, rakyat yang tak buat apa-apa kepada mereka, mereka khianat mereka bohongi janji yang mereka buat dulu untuk bantu dan tolong rakyat.

“Begitu juga peruntukan kepada kerajaan-kerajaan yang tidak ada di bawah PH-BN. Dalam konteks ni kalau negeri Terengganu royalti petroleum, tetapi mereka tidak tunaikan,” ujarnya yang juga ADUN Batu Buruk.

Beliau juga menjamin agenda Islam dibawa PAS menerusi PN tidak akan menzalimi atau menindas kebebasan mengamalkan agama dan budaya kaum lain, sebagaimana contoh telah ditunjukkan lebih 30 tahun pemerintahan di Kelantan.

Termasuk katanya, adalah berkait kebebasan bersuara di mana rata-rata rakyat menyatakan di zaman PH-BN ini tidak ada kebebasan bersuara sebagaimana yang mereka janjikan dulu.

“Semasa mereka pembangkang dulu, mereka kutuk, mereka kata, mereka caci macam-macam, tidak ada kebebasan bersuara di zaman pemerintahan BN.,Hari ni mereka berkuasa, mereka cuba untuk sekat macam-macam suara rakyat.

“Jika sekiranya ada saja content dalam TikTok, dalam Facebook, dalam media sosial, yang mengecam dasar-dasar dan polisi-polisi PH-BN, nescaya mereka akan ambil tindakan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/6/2024

- Advertisement -
- Advertisement -