KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia diminta untuk bersuara kepada Kementerian Kewangan terutamanya Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) isu kenaikan harga barang selepas penyasaran subsidi diesel.
Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) berkata, kos ekonomi terkini akan menjadi kesan domino walaupun pihak kerajaan tetap menafikan perkara tersebut.
“Tetapi kita perlu (suarakan), kalau boleh pendapatan yang dikenakan cukai itu perlu dinaikkan juga sekarang ini. Kita harap LHDN boleh maklumkan perkara itu untuk peningkatan (pendapatan yang dikenakan cukai) agar dapat lebihan kewangan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, Rushdan juga meminta kerajaan menyatakan tahap keberkesananan fungsi sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang katanya bagi membantu menyelaraskan serta mengoptimumkan perlindungan sosial untuk golongan pekerja.
Selain itu, beliau turut mempersoalkan kementerian berhubung lantikan baharu ke skim perkhidmatan penjawat awam yang diambil secara kontrak dan tidak dilindungi dengan skim pencen.
“Adakah kerajaan melihat kepada keperluan untuk membesarkan skop perlindungan akta ini kepada kakitangan kontrak penjawat awam?” katanya. – HARAKAHDAILY 24/6/2024