Naikkan had umur pencarum skim keselamatan sosial

Wan Razali Wan Nor
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia dicadangkan untuk menaikkan had umur Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah daripada 55 tahun kepada umur yang lebih panjang selaras dengan peningkatan usia rakyat Malaysia.

- Advertisement -

Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) berkata, ini adalah bagi memberi manfaat kepada lebih ramai wanita di luar sana kerana skim ini terhad bagi wanita berumur 55 tahun sahaja sedangkan tugasan suri rumah ataupun wanita tiada had umur.

“Walaupun ianya akta yang berbeza, namun saya ingin membangkitkan beberapa perkara bagi skim manfaat pekerjaan sendiri, SKSPS (Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri) iaitu agar dipertimbangkan manfaat caruman SKSPS turut melindungi penyakit kritikal serta membenarkan rawatan dialisis percuma,” ujarnya semasa membahaskan Rang Undang-undang Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Menurutnya, ramai yang keliru dengan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan beranggapan hanya suri rumah sahaja sedangkan ia terbuka kepada semua wanita.

“Elok juga jika ditukar kepada Skim Keselamatan Sosial Wanita untuk mengelakkan salah faham. Maksudnya tukar daripada Skim Suri Rumah kepada Skim Keselamatan Sosial Wanita,” tambahnya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan kepada kementerian itu agar membina Pusat Rehabilitasi PERKESO di lokasi lain termasuk Pantai Timur, khususnya dalam Parlimen Kuantan, ataupun utara Semenanjung dan Borneo agar liputan kemudahan itu lebih meluas dan memudahkan akses kepada pencarum.

“Pusat rehab utama terletak di Melaka dan beberapa satelit berada di sekitar Lembah Klang. Fasiliti dan peralatan di pusat rehab sangat membantu pencarum PERKESO yang menghidapi masalah kesihatan seperti sakit sendi, saraf untuk menjalani pemulihan termasuk fisio dan terapi cara kerja,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 24/6/2024