Isu MAHB-GIP-BlackRock langsung tak dibincangkan dalam Kabinet

Wan Ahmad Fayhsal dalam sidang media di lobi Parlimen, Kuala Lumpur pada hari ini, 24 Jun 2024.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Cadangan penjualan sebahagian saham Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) milik syarikat BlackRock, langsung tidak dibincangkan dalam Kabinet di negara ini.

Ketua Armada Bersatu Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, perkara ini turut diakui oleh Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Mohamad Hasan yang juga merupakan Ahli Parlimen Rembau.

- Advertisement -

“Ini jelas menunjukkan yang kita semua tidak tahu apa butiran dalam perbincangan mengenai perkara tersebut dan yang hanya tahu mengenai perkara ini ialah Pengerusi Khazanah Nasional Berhad, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Menurut beliau, ramai orang Umno telah menolak dan merayu kepada Perdana Menteri supaya tidak meneruskan penjualan sebahagian saham MAHB kepada GIP tersebut.

Tambah beliau, usul mengenai perkara tersebut telah pun dibuat supaya isu BlackRock ini dapat dibahaskan dalam Parlimen memandangkan perkara tersebut bukan sahaja mengenai kepentingan orang awam tetapi juga berkaitan rakyat Palestin itu sendiri.

“Dalam usul tersebut, saya telah mohon mencadangkan agar majlis mesyuarat ini ditangguhkan mengikut Perkara 18 (1) dan (2) Peraturan Mesyuarat untuk merundingkan bagi kerajaan Malaysia mempertimbangkan atau menarik semula keputusan penjualan sebahagian saham Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) milik BlackRock.

“Usulnya ialah perkara tertentu kerana syarikat BlackRock ini terlibat dalam membiayai pihak negara haram Israel pimpinan rejim Zionis yang melakukan tindakan pembunuhan beramai-ramai (genosid) terhadap rakyat Palestin terutamanya sempadan Gaza. 

“Usul ini hendak disegerakan kerana semakin lama keputusan ini ditangguh, semakin besar tanggungjawab keterlibatan kerajaan Malaysia dalam menyokong aktiviti tidak berperikemanusiaan negara haram Israel pimpinan rejim Zionis.

“Setiap saat yang diberikan umpama menyokong aktiviti genosid rejim terkutuk ini, usul ini juga melibatkan kepentingan ramai memandangkan majoriti rakyat Malaysia mempunyai pendirian yang jelas mengutuk dan mengecam tindakan genosid ke atas rakyat Palestin,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media parlimen yang diadakan lobi Parlimen, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin; Ahli Parlimen Jerantut, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin; dan Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan.

Sehubungan itu, beliau menyatakan telah menerima maklum balas daripada Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada pagi ini dan menjawab usul tersebut telah ditolak atas alasan ‘teknikal’.

Kata beliau lagi, alasan yang diberikan oleh Tuan Speaker mengenai penolakan usul tersebut adalah kerana tiada peruntukan untuk majlis mesyuarat ditangguhkan. 

“Kebiasaannya usul tergempar memang perlu ditangguhkan mesyuaratnya sebab ianya isu yang mendesak dan sebagai lampiran, saya juga telah membawa usul ini lebih awal.

“Saya tidak faham kenapa Tuan Yang DiPertua tidak membenarkan perkara ini. Maka tadi saya bertanya kepada Timbalan Yang DiPertua Dewan Rakyat sebelum datang ke sini dan beliau menyuruh saya membuat semula usul.

“Saya akan buat usul satu lagi yang sama lebih kurang, mungkin saya tukar sikit lebih kurang ayat yang teknikal supaya kerajaan dan pihak parlimen membenarkan perbahasan supaya rakyat tahu butiran sebenar mengenai perkara tersebut,” jelasnya.

Beliau menegaskan perkara sebegeini perlu dibahaskan dalam Parlimen memandangkan rakyat berhak untuk mengetahui perkara sebenar lebih-lebih lagi apabila melibatkan syarikat pelaburan yang bersifat pro-Zionis.

“Jika kita tidak membahaskan perkara ini yang melibatkan kepentingan orang ramai, yang melibatkan 39 lapangan terbang dan keselamatan negara kita, ia benar-benar merugikan,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/6/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -