Isu MAHB-GIP-BlackRock: Bincang di Mesyuarat Kabinet

Muhammad Ismi Mat Taib
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaaan Persekutuan digesa agar membincangkan semula tentang isu penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat yang ada kaitan dengan syarikat pro-Israel, BlackRock ke peringkat Mesyuarat Kabinet.

Ahli Parlimen Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib berkata, perbincangan itu perlu dilakukan secara teliti dengan mengambil kira sensitiviti bukan sahaja rakyat Malaysia, namun penganut agama Islam di seluruh dunia. 

- Advertisement -

Menurut beliau, terdahulu, di bawah pelan yang diumumkan Kerajaan Persekutuan pada bulan lepas, Global Infrastructure Partners (GIP) yang dimiliki BlackRock dilaporkan berpotensi memegang  sebanyak 30 peratus kepentingan dalam konsortium untuk menguruskan MAHB, bersama dana pelaburan kerajaan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP); yang mana kedua-dua entiti di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan,” katanya.

“Kita semua telah dimaklumkan bahawa ini adalah kali pertama GIP berminat untuk terlibat dalam pengurusan aset lapangan terbang di Asia,” katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Tambah beliau, umum mengetahui bahawa terdapat dakwaan meluas bahawa BlackRock terlibat dalam memperkasakan jentera perang Israel, dan ibu pejabatnya di New York menjadi sasaran penunjuk perasaan pro-Palestin yang menuduh syarikat itu mengaut keuntungan daripada pembunuhan beramai-ramai.

“Kegusaran dapat dirasai melihat kepada perkembangan ini atas beberapa faktor. Pertamanya, penglibatan GIP dalam syarikat milik negara ini adalah tidak selari dan bercanggah dengan pendirian rasmi Kerajaan Persekutuan dan rakyat Malaysia yang membantah tindakan kejam rejim Zionis terhadap Palestin sejak beberapa bulan lepas. 

“Apatah lagi, sehingga sekarang kita masih menerima berita bahawa pembantaian terhadap rakyat Palestin masih berlangsung,” jelasnya.

Selain itu, ujar beliau lagi, tindakan membenarkan satu firma pelaburan antarabangsa yang sangat menyokong Israel seperti BlackRock ini untuk mula bertapak di negara kita adalah satu langkah yang kurang cermat. 

“Tindakan ini mungkin akan membuka peluang kepada firma pelaburan antarabangsa lain yang juga penyokong Israel untuk meneroka pasaran di Malaysia dan seterusnya mendedahkan negara kita kepada potensi ancaman kepada kestabilan ekonomi negara kita memandangkan negara kita adalah penyokong Palestin sejak dahulu,” tegasnya.

Beliau dalam pada itu menyatakan bahawa masih terdapat ratusan firma pelaburan antarabangsa lain yang boleh diberi peluang untuk memegang sebanyak 30 peratus kepentingan dalam konsortium untuk menguruskan MAHB selain daripada BlackRock.

“Seruan kita agar Kerajaan Persekutuan konsisten dan tegas dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin termasuk dari segi memastikan negara kita tidak mempunyai sebarang kerjasama dengan mana-mana pihak yang hubungan mesra dengan Israel,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/6/2024

- Advertisement -