GAMIS bantah konsert Bruno Mars 

Imran Sulaiman mewakili GAMIS mengecam dan membantah sekeras-kerasnya konsert Bruno Mars yang akan diadakan di ibu negara pada 17 September ini.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) mengecam dan membantah sekeras-kerasnya konsert Bruno Mars yang akan diadakan di ibu negara pada 17 September 2024 ini.

Presiden GAMIS, Imran Sulaiman berkata, penganjuran konsert sebegini adalah melalaikan dan langsung tidak memberikan manfaat kepada masyarakat di dalam negara ini.

- Advertisement -

“Malah, konsert hedonisme yang bermatlamatkan hiburan semata-mata ini jelas bertentangan dengan nilai dan budaya masyarakat setempat.

“Lebih-lebih lagi, penyanyi Bruno Mars ini secara terang-terangan telah menunjukkan sokongannya terhadap zionis Israel dengan menyatakan kecintaannya kepada rakyat Israel sewaktu membuat konsert di Tel Aviv pada Oktober 2023 yang lepas.

“Tidak malukah kita, sedang seluruh dunia berterusan membantah dan mengecam tindakan genosid tentera Israel terhadap rakyat di Palestin?”, katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Tambah beliau, amat malang sekali Malaysia dengan senang hati menjemput penyanyi pro-zionis datang ke negara ini untuk mengadakan konsert yang melalaikan itu. 

“Justeru, GAMIS menggesa pihak berkuasa membatalkan konsert Bruno Mars tersebut serta menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia bersama-sama dalam menyuarakan bantahan dan kecaman terhadap konsert ini sehingga ia dibatalkan.

“GAMIS juga mendesak pihak bertanggungjawab supaya menghentikan penganjuran konsert ini agar masyarakat khususnya anak muda tidak dirosakkan dengan ideologi hiburan yang melampau,” katanya. 

Media tempatan sebelum ini melaporkan penyanyi Amerika Syarikat itu akan kembali mengadakan konsertnya di Malaysia di Stadium Bukit Jalil pada 17 September ini, selepas kali terakhir muncul dalalm konsert pada Mei 2018 di Axiata Arena, Bukit Jalil. – HARAKAHDAILY 24/6/2024

- Advertisement -