Diesel: Apa jaminan kerajaan tidak tambah beban rakyat

Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu membuat kajian secara terperinci khususnya terhadap kesan berantai kenaikan harga diesel mengikut sektor, terutamanya sektor makanan minuman, pengangkutan dan bahan binaan.

- Advertisement -

Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) berkata, ramai kontraktor G1 sehingga G7 sangat terkesan ekoran kenaikan harga diesel secara mendadak.

Beliau berkata, ini berikutan mengambil kira implikasinya terhadap penyedia perkhidmatan, kos pengeluaran sekali gus menjejaskan kuasa beli pengguna di samping prospek peningkatan inflasi.

“Yang kedua, apa perancangan terperinci kerajaan berkaitan dengan unjuran garis masa dan mekanisme pelaksanaan bagi penyasaran subsidi RON95?

“Sebab sekarang ni diperkatakan oleh rakyat di bawah ni, serta jaminan kerajaan supaya dia tak menambah beban rakyat,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab pertanyaan itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Senator Fuziah Salleh berkata, kerajaan mengambil berat supaya tidak berlakunya kenaikan harga barang yang mendadak akibat daripada penyasaran subsidi.

Beliau berkata, ini menyebabkan kerajaan memberi tumpuan kepada sektor logistik menjadi penyumbang yang besar kepada kos harga barang.

Ujarnya, pemberian fleet card atau diesel bersubsidi kepada syarikat lori atau logistik yang diperkenalkan itu bertujuan bagi memastikan tiada kos tambahan pengangkutan dan barang-barang keperluan.

“Berkenaan dengan saya rasa kajian ini terlalu awal kita nak mengatakan kita nak beri kesan dia. Ya terlalu awal tapi kita monitor setiap hari dan kita ada data. Setiap hari ya. Kita periksa lebih 480 item setiap hari dari segi harga.

“Berkenaan dengan RON 95, saya serahkan kepada Kementerian Kewangan untuk menjawabnya,” jawab Fuziah.

Sebelum itu, beliau menjawab soalan Dato’ Sri Richard Riot Jaem (GPS-Serian) yang meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup menyatakan tindakan kementerian dalam mengawal masalah kenaikan harga keperluan asas. – HARAKAHDAILY 24/6/2024

- Advertisement -