Cadangan beri elaun anak jaga ibu bapa warga emas

Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menyatakan hasrat untuk memberi elaun kepada anak-anak yang menjaga ibu bapa daripada kalangan warga emas di rumah masing-masing.

- Advertisement -

Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berkata, cadangan tersebut dilaksanakan di negara maju bagi mengelakkan pengabaian dan penganiayaan golongan itu.

Beliau turut meminta kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan jumlah warga emas menghuni di pusat jagaan termasuk swasta.

“Minta kerajaan menyatakan jumlah warga emas yang ditempatkan di rumah jagaan orang tua termasuk pusat jagaan orang tua yang dikendalikan oleh pihak swasta.

“Adakah kerajaan mempunyai cadangan untuk memberikan elaun kepada anak-anak yang menjaga ibu bapa mereka,” katanya semasa mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri menjelaskan Malaysia mempunyai pusat jagaan dikelola oleh kerajaan dan swasta.

Beliau berkata menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mempunyai Rumah Seri Kenangan (RSK) dan Rumah Ehsan (RE) ditubuhkan bagi menjaga kebajikan golongan itu.

RSK ditubuhkan untuk memberi jagaan dan perlindungan demi menjamin kesejahteraan kualiti hidup, RE memberi jagaan, rawatan dan perlindungan bagi yang tiada waris.

“Kini terdapat 10 buah RSK yang ada penghuni 1,640 orang serta dua buah RE yang berkapasiti 255 sehingga Mac 2024 seramai 1,066 orang telah ditempatkan RSK dan 43 RE.

“Sementara itu sehingga April 2024 terhadap 409 kendalian swasta yang berdaftar JKM menyediakan penempatan kepada lebih 8500 warga emas seluruh negara,” katanya.

Nancy berkata, pihak kerajaan menekankan prinsip penjagaan berasaskan kekeluargaan sentiasa memberi sokongan kepada anak-anak menjaga ibu bapa di rumah.

Malah melalui agensi pelaksana JKM menyediakan Skim Bantuan Kewangan, Skim Bantuan Warga Emas dan Skim Penjagaan OKU Terlantar sebanyak RM500 sebulan kepada individu layak.

Mas Ermieyati dalam soalan asal meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat menyatakan jumlah warga emas yang ditempatkan di rumah jagaan orang tua termasuk yang dikendalikan pihak swasta dan sama ada Kerajaan mempunyai cadangan untuk memberikan elaun kepada anak-anak yang menjaga ibu bapa mereka di rumah bagi mengelakkan pengabaian seperti yang dilaksanakan di negara maju. – HARAKAHDAILY 24/6/2024

- Advertisement -