Tak akan naik bas dipandu pemabuk, nak terjun gaung

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dilihat sedang menegaskan pendirian semasa PAS secara analogi sinikal dan menarik perhatian yang mungkin sebagai jawapan mudah kepada pihak tertentu.

“Bas dipandu pemandu mabuk dan hilang ingatan, pembantu pula kaki sakau. Pemanduan sangat buruk dan hala tujunya akan terjun ke gaung. Tiada guna PAS menumpang di bas tersebut.

“Apa yang perlu dilakukan ialah selamatkan penumpangnya,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas pada muat naik terkini status di media sosialnya dipercayai merujuk kepada tohmahan bahawa PAS akan menyertai Kerajaan Perpaduan.

- Advertisement -



Dakwaan tersebut menjadi isu cuba disensasi secara propaganda oleh pihak tertentu ketika kehangatan kempen PRK N.20 DUN Sungai Bakap ketika ini yang terdahulu disebut oleh Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.

Menteri Komunikasi itu sebagaimana laporan media tempatan mendakwa bahawa terdapat banyak perbincangan melibatkan pihak-pihak terbabit yang berkaitan gabungan antara pembangkang dan Kerajaan Perpaduan.

Letusan spekulasi Fahmi yang Jurucakap Rasmi Kerajaan Perpaduan itu bagaimanapun telah disangkal keras oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man di Nibong Tebal, semalam.

Tegasnya, PAS tidak akan menyertai Kerajaan PH-BN di mana tiada sebarang perundingan, perbincangan, mesyuarat dalaman parti atau bersama untuk mendukung kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Tiada sebab kita (PAS) nak dukung (Anwar) macam Umno. Waktu kempen pada rakyat (kata) ‘No DAP! No Anwar!’ (dan bersumpah) ‘Wallahi, wabillahi’. Tetapi selepas pilihan raya, apa berlaku?

“Dia jilat, langgar balik sumpah. PH (pula) waktu kempen serang Umno ‘Hoi… hoi ya hoi..’. Macam-macam serangan dibuat. Rakyat percaya Umno tak kan sokong Anwar, tak kan sokong DAP.

“Rakan-rakan Umno bagi undi pada Umno. Tiba-tiba selepas pilihan raya dia langgar keputusan parti dia,” bidasnya dalam ceramah sempena PRK N.20 DUN Sungai Bakap di Bandar Tasek Mutiara, malam tadi. – HARAKAHDAILY 23/6/2024

- Advertisement -