Rakyat sudah muak permainan politik kerajaan Madani

Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, rakyat sudah muak dengan permainan politik kerajaan Madani yang menindas kehidupan mereka.

- Advertisement -

Menurut Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu, justeru, rakyat memberikan isyarat itu dengan kehadiran yang ramai pada program ceramah PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Katanya, Puteri Gunung menjadi lokasi pertama Ceramah Perdana PN bagi PRK N.20 Sungai Bakap yang turut disertainya.

Beliau bersama barisan kepimpinan PAS dan Perikatan Nasional hadir bagi memberikan pidato setelah tempoh kempen secara rasminya bermula setelah selesai penamaan calon pagi semalam.

“Orang ramai serta seluruh rakyat DUN Sungai Bakap hadir ke ceramah perdana serta memenuhkan kerusi-kerusi kosong sehingga melimpah ke luar khemah.

“Satu signal kebangkitan oleh rakyat Sungai Bakap yang sudah muak dengan permainan politik kerajaan Madani yang kini semakin berani menindas rakyat dengan penarikan subsidi secara perlahan-lahan,” ujar beliau yang juga Exco Kerajaan Terengganu dalam satu hantaran di laman Facebooknya.

PN meletakkan Naib Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Nibong Tebal, Abidin Ismail, 56, sebagai calon pada PRK DUN Sungai Bakap.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya daripada PN, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 6 Julai sementara pengundian awal 2 Julai.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang yang diadakan Ogos tahun lepas, Nor Zamri menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab pada PRK DUN Sungai Bakap yang terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis. – HARAKAHDAILY 23/6/2024

- Advertisement -