Pertanian sumber kedua KDNK Kelantan

- Advertisement -

MACHANG: Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pertanian merupakan sumber Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang kedua terbesar bagi negeri Kelantan.

- Advertisement -

Justeru, menurutnya, sumber pertanian merupakan salah satu tulang belakang kepada pengeluaran makanan negeri.

“Kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan dan dukungan yang penuh buat petani yang ingin menjadi usahawan tani kerana sumber pertanian adalah penting bagi negeri ini,” katanya ketika merasmikan Ekspo Dapur Hijau 2024 di Astaka Taman Rekreasi Kolam Air Panas Tokbok, di sini petang semalam.

Beliau memberitahu, selepas dunia dan negara Malaysia dilanda Covid-19, ramai mulai sedar betapa pentingnya sumber makanan dalam setiap negara.

Tambahnya, serangan Covid-19 khususnya pada awal tahun 2020 memberi kesan buruk kepada manusia terutama membabitkan ekonomi, pergerakan sehingga ramai yang hilang mata pencarian.

Katanya, pada masa yang sama sekatan import dan eksport yang membabitkan bekalan juga turut dihalang akibat wabak terbabit.

“Ekoran itu ramai mula sedar tentang peri pentingnya kecukupan bekalan dan sumber makanan dalam negara iaitu sekuriti makanan.

“Amat wajar negara dan negeri kita memberi tumpuan khusus pada pertanian, sentiasa peka dan menggerakkan pelbagai inisiatif, program dan projek yang memberi fokus untuk menjana makanan,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, amat wajar modul berkaitan kempen kesedaran dan kaedah penghasilan biji benih dan penyimpanannya dipelajari dan diperkasakan pada tahun ini.

“Ianya penting untuk perkongsian ilmu dan teknik ini kepada para peserta program dari pakar Jabatan Pertanian dapat memberi konsep dan kaedah berkaitan Pengurusan Kebun Bandar kepada para peserta sekalian,” katanya.

Fadzli berkata, Ekspo Dapur Hijau 2024 merupakan program yang julung kalinya diadakan.

Menurutnya, program tersebut merupakan manifestasi konsep pertanian di halaman rumah dan organik melalui program Dapur Hijau sejak diperkenalkan pada tahun 2015.

“Pelbagai insentif dan program yang disediakan buat anda semua agar memastikan keterjaminan sumber makanan sentiasa dipelihara,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 23/6/2024

- Advertisement -