KUANTAN: “PAS bagi signal sudah bersedia untuk mentadbir negeri Pahang,” ujar Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Noor.
Justeru, katanya PAS negeri bersiap sedia untuk berhadapan pada bila-bila masa sahaja kemungkinan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Menurutnya, satu gelombang penuh semangat dapat dilihat kepada jentera yang hadir dan bersedia turun ke lapangan menyantuni penduduk di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Inderapura, di sini.
Beliau menyatakan demikian pada Program Jelajah PAS Teraju Pahang anjuran Jabatan Pilihan raya DUN Inderapura di Kem Akademik Azam, di sini hari ini.
Wan Razali juga mengucapkan selamat datang dan terima kasih kepada Ahli Undangan Negeri (ADN) yang hadir iaitu ADN Beserah, Andansura Rabu, Zuridan Mohd Daud (Damak), Yohanis Ahmad (Pulau Tawar), Nazri Ahmad (Bukit Ibam), Mohd Sofian Abd Jalil (Luit), Mohamad Ayub Mat Ashri (Sungai Lembing) dan Mohammad Rafiq Khan Ahmad Khan (Pulau Manis).
Tambahnya, kerja berkolaborasi itu memperkasakan gerak kerja dan kemahiran demi untuk mengambil alih DUN Inderapura pada PRU16 nanti.
“Apa yang kita laksanakan hari ini, sebarkan ke semua ruang media sosial (medsos) agar masyarakat akan dapat melihat kemesraan dan prihatinnya PAS, pimpinannya dan jenteranya menyantuni penduduk, meluang masa dan mendengar masalah mereka,” ujarnya yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Kuantan. – HARAKAHDAILY 23/6/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!